Saturday, 4 February 2012

‘Kami mahu balas dendam’

“KAMI mahu membalas dendam atas apa yang terjadi sebelum ini. Walaupun cabaran kali ini sukar, kami bersedia memberi tentangan habis-habisan kepada Bahrain. Itu janji pemain muda berbakat negara, Muhamad Nazmi Faiz Mansor kepada peminat bola sepak tanah air dalam misi memburu kemenangan pertama pada saingan peringkat Kumpulan C kelayakan Sukan Olimpik London 2012 menentang Bahrain esok.

Katanya, skuad negara tidak boleh mengulangi kesilapan yang dilakukan pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil November lalu di mana mereka membenarkan Bahrain bangkit mencatat kemenangan dengan menjaringkan tiga gol dalam tempoh 10 minit terakhir bagi memadam kelebihan dua gol awal Malaysia biarpun beraksi dengan 10 pemain.


“Kekalahan sebelum ini memberikan banyak pengajaran kepada semua pemain dan kami tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama pada perlawanan Ahad ini.

“Bahrain mempunyai kekuatan seimbang dengan Malaysia kerana turut mengamalkan corak permainan pantas, tapi kali ini kami akan lebih bersedia,” katanya yang dihubungi Arena Metro di Manama, Bahrain semalam.


Nazmi sekali lagi menjadi sandaran jurulatih Ong Kim Swee bagi menjana serangan di bahagian tengah bersama dengan pemain tengah bertahan K Gurusamy berikutan, Mohd Irfan Fazail dan Gary Steven Robbart masih bergelut dengan prestasi selepas pulih daripada kecederaan.


Malah pemain berusia 17 tahun itu antara pemain yang mampu merobek gawang Bahrain seperti yang dilakukan menerusi ledakan kencang kaki kiri ke gawang Bahrain sebelum ini yang dianggap antara gol tercantik peringkat kelayakan.

Click Here

Biarpun di dalam hati masih berhajat untuk menyumbang gol buat negara namun Nazmi yang membantu skuad bawah 23 tahun menjuarai Sukan Sea Indonesia tahun lalu lebih menumpukan soal kemenangan berbanding kepentingan peribadi.

No comments: