Saturday, 4 February 2012

Tugas sukar Real Madrid

MADRID: Kelebihan tujuh mata Real Madrid ke atas Barcelona mungkin berkurangan minggu ini apabila anak buah Jose Mourinho dijangka bakal berdepan tugas sukar bertemu seteru setempat, Getafe.

Pasukan dari bahagian selatan bandar itu mungkin sekadar menduduki tangga kesembilan liga tetapi mereka hanya dipisahkan dengan jurang empat mata untuk menempah tempat ke Liga Juara-Juara musim depan dan tidak pernah tewas dalam enam perlawanan terakhir liga.


Getafe juga adalah satu-satunya pasukan yang mampu menewaskan Barcelona musim ini dan antara penyebab utama Real selesa menjarakkan diri dengan kelab Catalan itu.

Sejak dimalukan 1-3 oleh Barcelona di halaman sendiri Disember lalu, skuad bimbingan Mourinho mencatat rekod kemenangan bersih dalam lima perlawanan liga dengan antaranya bergantung kepada kecemerlangan pemain antarabangsa Jerman, Mesut Ozil.


Selepas menyatakan keinginan untuk kekal bersama Real dalam tempoh yang lama, pemain tengah berbakat itu kini sudah jelas dengan sasaran jangka pendek pasukan.


“Mungkin ada yang menyatakan kami mempunyai jurang besar dengan Barcelona tapi sebenarnya tidak. Jika kami gagal dalam dua perlawanan selepas ini, mereka mampu mengejar semula,” kata Ozil.

Click Here

Jurulatih Getafe, Luis Garcia pula pantas melabelkan Ozil sebagai salah seorang pemain berbahaya Real.


“Dalam beberapa perlawanan terakhir dia beraksi dengan cemerlang dan kini bakal berdepan dengannya. Harap dia tidak beraksi dengan baik Sabtu ini (awal pagi esok) tapi bagi saya, dia mempunyai masa depan yang cerah di Real,” kata Garcia yang tetap yakin dengan kemampuan pasukannya.

“Kami berada pada prestasi terbaik dan mempunyai peluang cerah. Real setakat ini gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan liga dan kami berharap dapat terus memanjangkan rekod buruk mereka,” tambah Garcia.


Selain kesukaran bertemu Real, Garcia turut berdepan masalah dalam pasukannya.


Khidmat Rafael Lopez yang mengalami kecederaan sementara Albert Lopo dan Dani Guiza yang digantung perlawanan tidak dapat digunakan.


Turut mencetuskan keraguan adalah pemain tengah, Miguel Marcos Madera yang berdepan kecederaan sementara Pedro Leon yang dipinjamkan dari Real, turut tidak akan diturunkan. - AFP

No comments: