SHAH ALAM - Kritikan dan kegusaran peminat bola sepak tempatan terhadap prestasi skuad kebangsaan akhirnya dijelaskan dengan tenang serta berfakta oleh pengurusnya, Datuk Seri Subahan Kamal dalam sidang media di, sini semalam.
Subahan, yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), menjelaskan di sebalik kritikan dan keraguan peminat, skuad negara sebenarnya masih pada landasan yang tepat untuk mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF hujung tahun ini.
Selain itu, skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal juga berada dalam fasa persediaan yang terbaik untuk layak ke Piala Asia 2015.
"Kita mahu peminat tahu tentang pembangunan dan status pasukan kebangsaan menerusi beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa yang sedang diusahakan iaitu mulai April hingga November sebelum kejohanan Piala Suzuki AFF," katanya.
Jelasnya, sejak muncul juara rantau Asia Tenggara dengan menjulang Piala Suzuki AFF, banyak perbincangan diadakan di antara jurulatih dan pengurusan FAM bagi meneruskan momentum kebangkitan bola sepak negara.
Menurutnya, FAM sendiri tidak mahu hanya dikenali juara satu edisi sahaja.
"Sebagai contoh Greece yang hanya muncul juara Euro 2004 selepas itu mengalami kemerosotan.
"Kita tidak mahu seperti itu. Perlu ada kesinambungan dan formulanya adalah mempunyai kumpulan pemain muda yang ramai serta boleh dipanggil pada bila-bila masa.
"Ada yang mempertikaikan tentang perlawanan persahabatan menentang pasukan negeri sebagai perancangan tidak betul dan melemahkan pasukan kebangsaan itu sendiri.
"Tetapi dari sudut positif, kita mampu mencari bakat baru hasil daripada perlawanan seperti ini.
"Sedikit sebanyak kita berkongsi kegemilangan bola sepak bersama 30,000 penonton yang datang menyaksikan perlawanan antara skuad kebangsaan dan Sabah baru-baru ini," katanya.
FAM merancang sembilan perlawanan berkelas A termasuk menentang Thailand, India, Singapura, Australia, New Zealand, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.
Bagaimanapun negara yang sudah mengesahkan perlawanan ini hanya Singapura sahaja yang berlangsung pada Jun depan.
No comments:
Post a Comment