Thursday, 22 March 2012

Badminton : Arif buang kontroversi

ARIF diberi kepercayaan membarisi skuad Malaysia Tiger pada kempen Piala Axiata 2012.


PEMAIN muda negara, Mohamad Arif Abdul Latif mahu melupakan segala kontroversi dan kini fokus untuk memberi persembahan terbaik pada pusingan awal kejohanan badminton Piala Axiata 2012 bermula esok hingga Ahad ini di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata, dia telah bersedia, malah berasa lebih yakin bagi menghadapi kejohanan berpasukan di rantau Asia Tenggara itu yang julung kali diadakan.

"Persiapan saya ketika ini baik, saya lebih yakin. Jurulatih juga telah melatih saya untuk berasa lebih yakin," kata Arif semalam.

Baru-baru ini, Arif melahirkan rasa kecewa kerana tidak disenaraikan pada saingan Seluruh England dan Terbuka Switzerland, meskipun dia menduduki ranking lebih baik daripada pemain yang dipilih oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bagaimanapun, Arif tidak mahu lagi memanjangkan isu tersebut.

"Buat masa ini saya nak lupakan benda-benda yang lepas dan sekarang mereka (BAM) akan hantar saya untuk menyertai Terbuka Australia dan saya kena buktikan kepada mereka yang saya boleh beri persembahan terbaik di sana, seterusnya disenaraikan pada pusingan akhir Piala Thomas, Mei depan," katanya.

Sebelum ke Australia awal bulan depan, anak muda kelahiran Negeri Sembilan itu akan beraksi pada Piala Axiata bersama skuad Malaysia Tiger yang dibarisi pemain berpengalaman negara.

Biarpun Datuk Lee Chong Wei dikhabarkan terpaksa diketepikan pada saingan awal Piala Axiata 2012, pemain No. 1 dunia itu mungkin akan beraksi sekiranya skuad Malaysia Tiger mara ke saingan separuh akhir.

Turut berada dalam skuad Malaysia Tiger ialah Muhammad Hafiz Hashim, Liew Daren, serta beregu No. 1 negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Goh V Shem-Lim Kim Wah.

Satu lagi wakil negara ialah Malaysia Leopard yang diwakili barisan pemain muda - Zulfadli Zulkifli, Iskandar Zulkarnain, Misbun Ramdan Misbun, beregu Ow Yao Han-Chooi Kah Ming dan Teo Ee Yi-Nelson Heg Wei Keat.

Skuad Malaysia Leopard diundi dalam Kumpulan J bersama Indonesia Garuda, Singapura dan Vietnam, manakala Kumpulan K menampilkan Malaysia Tiger, Indonesia Rajawali, Filipina dan Thailand.

Juara dan naib juara kumpulan secara automatik akan layak ke peringkat separuh akhir yang akan dijalankan mengikut format timbal balik di dua venue - Malaysia dan Indonesia.

No comments: