
LONDON - Pelari pecut Jamaica, Usain Bolt percaya dia mampu mempertahankan tiga pingat emas yang dimenanginya di temasya Olimpik Beijing empat tahun lepas.
Dengan hanya tinggal lebih kurang lima bulan sahaja lagi untuk Bolt, 25, mempertahankan pingat emas Olimpik dalam acara 100 meter (m), 200m dan 4x100m berganti-ganti, dia berharap rakyat negaranya yang menetap di sini dapat memberikan sokongan padu pada temasya di London nanti.
"Saya telah menunggu saat ini selama empat tahun, sudah tentu saya cukup teruja jika dapat memberikan aksi terbaik kepada semua orang di seluruh dunia.
"Temasya Olimpik cukup bermakna buat saya, tambahan pula begitu ramai rakyat Jamaica yang bermastautin di London.
"Disebabkan itu, saya tahu yang saya perlu memberikan yang terbaik," katanya.
Terdapat kira-kira sejuta orang telah menempah tiket bagi menyaksikan acara final 100m di Stadium Olimpik, London yang dijadualkan pada 5 Ogos depan.
Selain itu, Bolt yang merupakan calon pilihan untuk menjuarai acara final 200m pada 9 Ogos juga merupakan kunci utama kuartet 4x100m berganti-ganti Jamaica, dua hari kemudian.
Harapan peminat terhadap Bolt juga cukup tinggi bagi melihat sama ada dia mampu memecahkan rekod peribadinya dalam acara 100m iaitu 9.58 saat yang dilakukannya pada Kejohanan Dunia Berlin 2009.
Pengerusi Komiti Temasya Olimpik London (LOCOG), Sebastian Coe sebelum ini percaya Bolt mampu melakukannya dalam masa 9.4 saat.
Namun, kata Bolt: ''Ia kedengaran mudah, cuma bagi saya segala-galanya tidak mustahil (untuk memecahkan rekod).
"Saya berlatih setiap hari, mengekalkan fokus dan melakukan yang terbaik. Jadi, tidak ada sesiapa yang tahu apa yang bakal terjadi.
"Apa yang saya tahu, saya hanya mahu menjadi seorang legenda dalam acara pecut," katanya. - Reuters
No comments:
Post a Comment