Jasni Shafie

SALAM Hormat. Kita bertemu lagi Dari Tepi Padang minggu ini – minggu yang penuh dengan kemuraman bagi sukan negara.

Ada dua perkhabaran tidak begitu menggembirakan kita dari Eropah. Pertama ialah kegagalan Datuk Lee Chong Wei mempertahankan kejuaraan Seluruh England di National Indoor Arena, Birmingham. Yang kedua, ialah kekecewaan skuad hoki negara di Dublin, Ireland untuk menempah tiket melayakkan diri ke Sukan Olimpik London Julai ini.

Kedua-dua kegagalan itu memang amat mengecewakan kita. Impian kita untuk melihat Chong Wei mengulangi kejayaan Peng Soon memenangi Seluruh England tiga kali berturut-turut hanya tinggal kenangan. Harapan tinggi kita untuk melihat pasukan hoki merebut slot terakhir melalui perlawanan kelayakan ke Sukan Olimpik London juga terburai di Dublin.

Lalu, apa lagi yang mampu kita himpunkan sebagai mimpi indah sepanjang minggu ini?

Bukan sahaja mimpi indah yang bertukar menjadi igauan buruk, di tanah air juga kita dihidangkan dengan kontroversi pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bertegang urat dengan media setelah komennya mengenai seorang jurulatih negara dikatakan `telah disalahertikan’.

Sekali lagi media diheret dan dipersalahkan. Mengapa perkara begini sering berlaku. Kedua-dua pihak seharusnya bekerjasama untuk memajukan sukan negara, tetapi pertelingkahan begini tidak akan menguntungkan sesiapa – sekadar menjadi bukti untuk terus menegakkan keegoan masing-masing!.

Sejak dari dulu lagi pihak media akan disenangi jika menulis atau memaparkan berita yang menggembirakan sesuatu pihak. Media akan dijulang. Berita yang baik-baik sahaja, yang penuh dengan pujian melangit menjadi impian mereka. Hubungan dengan pengamal media menjadi amat akrab. Malah, jika ada peluang, pihak media turut dibawa bersama pasukan atau persatuan mereka ke luar negara.

Pada kedudukan ini, pihak media dalam dilema dan menuntut tahap profesionalisma masing-masing. Bukan kerana terhutang budi, tetapi rasa `segan’ sudah menular untuk menulis atau melaporkan yang negatif mengenai pasukan atau individu yang telah bersusah-payah membawanya ke luar negara.

Ini adalah lumrah bagi pengamal media. Kerana kita dididik dengan budaya penuh sopan santun dan sentiasa menghargai jasa orang kepada kita, maka advantage ialah kepada individu atau tokoh tertentu yang mempunyai hubungan mesra dengan media.

Tetapi, adalah terlalu tidak adil untuk menyalahkan sikap individu atau pemimpin sukan di negara kita menjalinkan hubungan baik dengan pihak media.

Mereka harus mendampingi pihak media – untuk publisiti dan menunjukkan kepada yang lain bahawa mereka sebenarnya `kuat bekerja’. Tetapi, apabila ada sesuatu yang tidak begitu menggembirakan bagi pihaknya, jangan pula media dijadikan `kambing hitam’.

Adalah mudah menyalahkan pihak media tetapi teknologi hari ini tidak lagi boleh `memihak’ kepada yang menyalahkan media semata-mata kerana kononnya memutarbelitkan apa yang mereka lafazkan sebelum itu.

Dengan rakaman audio atau video dalam teknologi canggih hari ini, orang tidak akan percaya pada kita lagi sekiranya video jelas memaparkan apa yang mereka lontar atau kata kan sebelum itu. Jangan cuba memperbodohkan masyarakat dengan menyatakan video itu juga tidak tulen.
Masyarakat kini sudah bijak untuk menilai. Jadi, jangan salahkan teknologi moden hari ini. Yang perlu kita lakukan ialah berhati-hati ketika menuturkan kata-kata. Berwaspada dengan apa yang kita lakukan...kerana ramai yang sedang memerhatikan kita, biarpun hanya dari tepi padang...
Jumpa lagi minggu depan. Pastikan badan sihat, minda cerdas. SH