Delia Arnold

BERGELAR juara pada Terbuka Delaware, pada 5 Februari lalu, pemain skuasy ketiga negara, Delia Arnold enggan mendabik dada dan menjadikan gelaran itu sebagai jaminan memudahkannya melangkah ke undian utama Kejohanan Skuasy Nicol David CIMB Terbuka Kuala Lumpur 2012, 26 Mac ini.

“Masih banyak perlu diperbaiki terutama ketahanan­ fizikal dan stamina. Dengan masa tinggal kurang daripada dua minggu, perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencipta keputusan yang lebih baik berbanding tahun sebelum ini.

“Walaupun meraih gela­­ran juara Terbuka Delaware yang pertama untuk tahun ini, saya tidak anggap itu jaminan selesa, tetapi ia satu permulaan yang bagus dan berharap kejayaan itu berterusan,” katanya yang perlu melepasi perlawanan kelayakan sebelum ke undian utama.

Mengakui saingan kali ini lebih hebat, Delia bagaimanapun berharap keputusan tahun ini lebih baik selepas sekadar menamatkan saingan di pusingan pertama pada dua kejohanan sama sejak 2010.

“Tumpuan saya ada pada perlawanan kelayakan dahulu. Saya tidak mahu terlalu memikirkan soal untuk beraksi di pusingan pertama tetapi fokus pada satu-satu perlawanan,” katanya.

Sementara itu, dengan ranking dunia yang tidak banyak berganjak sepanjang tahun lalu, Delia yang berada di kedudukan ke-21 dunia kini, tekad untuk berada di kelompok 15 pemain wanita terbaik tahun ini.

Kejohanan Skuasy Nicol David CIMB Terbuka Kuala Lumpur 2012 bakal membuka tirainya pada 26 hingga 31 Mac.