GAH...Hamilton (tengah), Button (kanan) dan Schumacher ketuai perlumbaan hari ini.
MUNGKINKAH musim ini menjadi tahun paling gemilang untuk Lewis Hamilton selepas pemandu Vodafone McLaren Mercedes itu meraih petak pertama pada perlumbaan sebenar hari ini selepas mengungguli sesi kelayakan perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Petronas semalam.
Apa yang dilakar bekas juara dunia 2008 itu mengulangi pencapaian pada perlumbaan pembuka tirai di Australia minggu lalu apabila mendominasi sesi kelayakan tetapi hanya sekadar berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Jenson Button melengkapkan kegemilangan McLaren, apabila meraih petak kedua sekali gus permulaan satu dua untuk pasukan berpangkalan di United Kingdom itu.
“Ia keputusan yang amat bagus selepas kami perlu menyesuaikan diri dengan beberapa perkara termasuk keadaan cuaca panas di sini. Apapun, keputusan ini bermakna, rakan sepasukan melakukan tugas dengan amat cemerlang,” kata Hamilton.
Keputusan satu dua semalam jelas menunjukkan McLaren mempunyai pakej kereta yang amat kompetitif baik untuk Hamilton ataupun Button dan diramal bakal memberi saingan kepada pasukan utama yang lain pada musim ini.
Pada sesi kelayakan semalam, Hamilton mencatat masa terpantas 1 minit 36.219 saat untuk menduduki petak pertama sementara rakan sepasukannya, Button ketinggalan hanya 0.419s di belakangnya.
Perlumbaan hari ini juga bakal menyaksikan tiga bekas juara dunia bakal berentap sesama sendiri di petak depan kerana selain Hamilton dan Button yang juga bekas juara dunia 2009, Michael Schumacher mencatat masa ketiga terpantas pada sesi kelayakan semalam.
Bekas juara dunia tujuh kali itu yang memandu jentera Mercedes AMG Petronas F1 Team mencatat masa 1:36.391 untuk berada di petak ketiga hari ini sekali gus pasti mahu mencari kejuaraan keempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas pernah mencatat tiga kemenangan di sini.
“Saya fikir keputusan ini permulaan yang bagus untuk saya serta pasukan. Sama-sama kita saksikan apa yang boleh kami lakukan esok,” kata pemandu Jerman itu.
Pemandu Red Bull Racing, Mark Webber pula bakal memulakan perlumbaan hari ini di petak keempat dengan meraih catatan terpantas 1:36.461.
Sementara Kimi Raikkonen yang mencatat masa kelima terpantas semalam, terpaksa bermula di petak ke-10 selepas dikenakan hukuman lima petak ke belakang kerana menukar kotak gear pada sesi latihan kedua kelmarin..hmetro
No comments:
Post a Comment