![]() |
ESTHER kini lebih yakin dengan rentak permainannya selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan. |
SETELAH terlepas peluang melakar kejayaan pada Kejohanan Boling Antarabangsa DHC yang berlangsung di pusat boling Hakata Star Lanes baru-baru ini, atlet boling negara kini berazam untuk kembali menyengat di pentas antarabangsa.
Dengan hanya Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamallidon sahaja yang berjaya muncul naib johan pada kejohanan tersebut, aksi skuad boling negara pada permulaan musim ini agak mengecewakan.
Justeru, seramai 14 atlet kebangsaan berpeluang menebus kekecewaan pada Kejohanan Brunswick Euro Challage, Perancis yang berlangsung sehingga Ahad depan.
Skuad negara akan memulakan saingan hari ini dengan diletakkan dalam Kumpulan 10 dan mereka akan bersaing bersama 56 peserta lain termasuk peserta dari Perancis, Rusia serta Sweeden.
Menjadi wakil tunggal dari Asia, Malaysia turut menyandarkan harapan ke atas pemain berpengalaman negara, Esther Cheah, 23, yang kembali ke lapangan boling selepas berehat panjang akibat kecederaan sewaktu Sukan SEA di Indonesia tahun lalu.
Dengan kejayaan yang dilakar pada Kejohanan Antara Negeri Astro ke-25 minggu lalu, kelibat Esther terus ditagih untuk menampilkan kembali balingan emasnya pada kejohanan yang berlangsung di Plaza Saint Maximin, Perancis.
"Tiada apa yang lebih menggembirakan apabila dapat kembali beraksi terutama selepas berehat selama tiga bulan.
"Malah, dengan kecederaan yang telah pulih ini, ia akan membantu saya melakukan balingan yang lebih kemas seperti dulu," kata pemain kelahiran Pulau Pinang ini.-kosmo
No comments:
Post a Comment