
PEKAN - Pasukan Mercedes AMG Petronas F1 yakin dapat meningkatkan prestasinya pada Perlumbaan Formula 1 (F1) di Sepang hujung minggu ini setelah gagal mencatat sebarang kedudukan di Australia minggu lepas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Nick Fry berkata walaupun pemandu pasukan, Michael Schumacher dan Nico Rosberg dilanda masalah pada perlumbaan hujung minggu lepas, pasukan itu yakin dapat meningkatkan prestasi dan mencatat kedudukan baik di Sepang.
"Malangnya, hujung minggu lepas, Michael (Schumacher) mengalami masalah kekotak gear, manakala Nico (Rosberg) pula dilanda masalah enjin.
"Bagaimanapun, perkara yang sungguh menggembirakan ialah Mercedes AMG Petronas memiliki kereta yang amat laju untuk membolehkan kami menambah baik pencapaian di Malaysia dan kami juga berharap, menjelang akhir musim ini, kami akan tersenarai sebagai antara tiga pasukan terbaik bagi kategori pengeluar, lebih baik daripada tempat keempat tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas melawat Kilang Mercedes-Benz Malaysia di Peramu Jaya, Pekan, di sini hari ini.
Turut melakukan lawatan ke situ ialah pemandu pasukan berkenaan Schumacher Rosberg dan Sam Bird, Naib Presiden Mercedes-Benz Motorsport Norbert Haug dan Pengurus Besar Kanan Bahagian Perkhidmatan Korporat Petronas Datuk Mohd Medan Abdullah.
Mengenai prestasi Schumacher, Haug berkata beliau berpuas hati dengan prestasi pasukan itu setakat ini, walaupun pemandu terkenal itu tidak dapat menghabiskan perlumbaan di Melbourne minggu lepas.
"Michael mempamerkan prestasi yang sungguh hebat minggu lepas dan berada pada kedudukan ketiga sebelum masalah kekotak gear memaksanya menarik diri.
"Kami yakin dia akan kembali bersedia sepenuhnya dan kami perlu bersabar serta mengamalkan pendekatan selangkah demi selangkah kerana sebagai pasukan baru, kami masih berusaha untuk menyesuaikan diri dengan perlumbaan. Formula Satu (F1) jauh lebih mencabar sekarang berbanding dulu dan kini kami mempunyai pemandu yang hebat," katnya.
Sementara itu, 40 remaja terpukau dengan kepakaran pemanduan Schumacher dan Rosberg, yang memandu uji tiga kereta baru Mercedes Benz di kawasan kilang itu.
Schumacher, yang memandu Mercedes SLS dan Rosberg, Mercedes AMG, menghiburkan kumpulan remaja itu dengan mempamerkan kemahiran luar biasa pemanduan mereka selama 30 minit. - Bernama
No comments:
Post a Comment