Wednesday, 21 March 2012

Pemain Piala Presiden kukuh serangan Perak

PERAK akan menggunakan khidmat pemain Piala Presiden dalam usaha menyuntik semangat juang baru bagi meneruskan perjuangan dalam saingan Liga Super musim ini.

Tindakan itu diambil berikutan aksi longgar Seladang terutama jentera serangan pasukan kendalian Norizan Bakar yang mengalami dua kekalahan berturut-turut iaitu kepada Terengganu dalam saingan Piala FA diikuti kegagalan 0-2 di tangan Kelantan dalam saingan liga.


Justeru Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, usaha perlu dilakukan bagi mempertajam jentera serangan pasukan Kejor Yob Kejor yang ternyata tumpul.

Kemelut kemarau jaringan itu menyaksikan hanya seorang daripada tiga penyerang Perak iaitu Akmal Rizal Ahmad Rakhili menjaringkan gol.


Manakala dua lagi iaitu awang import, Lazar Popovic dan Mohd Failee Ghazali belum mampu memecah kebuntuan jaringan. Begitupun Failee baru pulih daripada kecederaan ‘hamstring’ ketika menentang Negeri Sembilan yang menyaksikan pemain itu terpaksa berehat panjang.


Kekecewaan terbesar peminat ialah terhadap Popovic yang gagal mencapai tahap piawaian berikutan gagal menyumbang sebarang gol.

Kecuali dua gol yang dijaringkan ketika Perak menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan di Ipoh, Akmal Rizal juga bagaikan turut ditimpa ‘badi’ Popovic apabila gagal melakukan pemusnah.


Namun gara-gara kecederaan lama bekas penyerang kebangsaan itu mungkin hilang ketajaman dan pergerakannya tidak agresif.

“Kami perlu mempertajamkan jentera serangan yang agak tumpul setakat ini. Justeru kami mungkin menyerapkan penyerang skuad Piala Presiden ke dalam pasukan untuk menyuntik semangat dan iltizam baru kepada barisan serangan Perak,” katanya.


Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan negeri berkata, empat penyerang utama skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim yang dikenal pasti ialah Muhammad Syariff Osman, Nor Hakim Mohd Isa, Kamarul Hesam Mohd Kadri dan Kenny Pallraja.


“Sudah tiba masanya pemain muda diketengahkan agar dapat menimba pengalaman dan ilmu,” katanya.


Beliau yakin tindakan mengambil pemain terbabit tidak menjejas keupayaan skuad Piala Presiden yang ketika ini berada dalam kelompok empat pasukan teratas kumpulan.-Metro

No comments: