Wednesday, 21 March 2012

Tevez penentu ubah nasib City


TEVEZ (kiri) dijangka akan digandingkan dengan Sergio Aguero (tengah) untuk merobek kubu Chelsea esok.


LONDON - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini yakin kehadiran penyerang, Carlos Tevez mampu menghidupkan peluang untuk meraih gelaran juara Liga Perdana England pertama ketika menentang Chelsea, awal pagi esok.

Sebelum ini Tevez tidak beraksi selama dua bulan ekoran kontroversi di mana bekas penyerang Manchester United itu enggan memanaskan badan ketika menentang Bayern Munich pada aksi Liga Juara-Juara, September lalu.

Rentetan daripada kontroversi itu, skuad Mancini gagal mempertahankan kedudukan pendahulu liga yang dikuasai mereka selama lima bulan apabila musuh ketat, Manchester United berjaya memintas dan kini empat mata di depan selepas skuad kendalian Alex Ferguson menewaskan Wolverhampton Wanderers 5-0 pada Ahad lalu.

Pertemuan getir menentang Chelsea bakal menjadi penanda aras buat City apatah lagi selepas menyaksikan kebangkitan The Blues sejak Andre Villas-Boas dipecat.

Pemain pertahanan City, Joleon Lescott yang menyambut baik kepulangan Tevez ke dalam skuad utama berkata: "Dia (Tevez) bagaikan pemain baharu (yang ditandatangani oleh City).

"Kesemua pemain sangat teruja dan sudah tidak sabar untuk beraksi bersamanya. Sepanjang dua tahun yang lalu, Tevez telah menunjukkan satu kebolehan pada tahap yang begitu menakjubkan.

"Saya yakin dia mampu mengulangi pencapaian hebatnya dan sudah jelas Tevez akan membuktikan kehebatannya (ketika menentang Chelsea)."

Begitu pun, Lescott tetap melahirkan perasaan gusar pada aksi menentang The Blues yang dilihat berusaha keras memburu tempat keempat liga untuk layak ke pentas Eropah pada musim depan.

"Sudah tentu ia bukan merupakan satu situasi yang baik untuk kami (pada aksi menentang Chelsea) namun kami bersedia menghadapi perlawanan tersebut.

"Apa yang lebih mustahak adalah Tevez kini kembali bersama City," ujarnya. - Agensi

No comments: