Thursday, 22 March 2012

Visi juara muda

JUARA bertahan, Sebastian Vettel berada dalam posisi tidak normal menjelang perlumbaan Grand Prix Formula Satu Malaysia, hujung minggu ini.

Pemandu muda Red Bull itu tidak pernah menjangkakan mampu merangkul gelaran juara dunia buat kali kedua berturut-turut dan menguasai kedudukan sebagai pendahulu saingan sejak November 2010 apabila tenang memenangi perlumbaan terakhir untuk merangkul kejuaraan sulungnya.

Namun pemandu berusia 24 tahun dari Heppenheim itu sedar perlu berusaha keras mencipta kejayaan hatrik dalam sejarah F1 selepas McLaren menguasai ujian pramusim dan perlumbaan pembukaan di Grand Prix Australia.

Bekas juara, Jenson Button merangkul kemenangan penuh bergaya dan Vettel mengambil peluang daripada kereta keselamatan untuk berada di kedudukan kedua mengatasi seorang lagi pemandu McLaren, Lewis Hamilton.

Manakala Mark Webber dari Red Bull, keempat. Kini Red Bull dan McLaren yang tidak pernah meraih gelaran pemandu terbaik sejak 2008 sedia bertarung untuk memastikan kereta dan pelumba mereka bakal memberikan cabaran dan Grand Prix Malaysia menjadi satu daripada perlumbaan paling sukar tahun ini.


“Tahun lalu kami menyaksikan beberapa kereta sesuai di sirkit berbeza dan memiliki ciri-ciri berlainan,” kata ketua pasukan Red Bull, Christian Horner.


“Saya rasa beberapa sirkit mampu menjejaskan prestasi kereta namun saya pasti pasukan ini sudah sedia untuk cuba mengatasi situasi itu kali ini.

“Seperti biasa perlumbaan pastinya sukar dan ia menjadi perlumbaan pembangunan daripada mula hingga tamat musim. “Sesiapa yang berjaya menghasilkan prestasi terbaik daripada kereta masing-masing akan memperoleh ganjarannya.” Vettel tampil bersahaja untuk menyambut cabaran McLaren walaupun selepas Button bergurau dia berharap tidak akan melihat pelumba popular dari Jerman itu meraikan kejayaannya sekali lagi.


“Tunggu saja apa yang akan berlaku hujung minggu ini. Saya masih ingat tahun lalu, kami menguasai perlumbaan di Australia dan persaingan sesi kelayakan pada masa itu hanya membabitkan saya dan Hamilton, kali ini lihat saja apa yang berlaku,” kata Vettel. - AFP

No comments: