MANILA: Beberapa syarikat penerbangan akan mengubah laluan ke Filipina bagi mengelak roket Korea Utara yang dijangka dilancarkan di antara minggu ini dan minggu depan, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina.
Kira-kira 20 penerbangan termasuk Philippine Airlines, Cebu Pacific, All Nippon Airways, Japan Airlines, Korean Airlines, Garuda Indonesia dan Delta Airlines akan menukar laluan antara Khamis dan Isnin ini apabila Korea Utara mengumumkan akan melancarkan satelit. Masa pelancaran bergantung kepada keadaan cuaca.
Jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina, Floramel Joy Songsong, berkata agensi itu akan menutup tiga koridor udara timur laut buat sementara dan akan menyebabkan tambahan perjalanan 20 minit untuk syarikat penerbangan.
JAL dan ANA akan mengubah laluan penerbangan yang menghubungkan Tokyo ke Manila, Jakarta dan Singapura, manakala penerbangan domestik tidak akan terjejas.
JAL mempunyai empat penerbangan sehari pada tarikh pelancaran roket itu. Jurucakapnya, Norio Higashimine, berkata setiap penerbangan akan membawa lebih banyak bahan api sekiranya berlaku perubahan laluan yang tidak dijangka. - AP
No comments:
Post a Comment