Pelakon Filem Lelaki Popular ABPBH 2011, Aaron Aziz dalam temubualnya bersama wartawan Galaksi TV9 dan Melodi TV3 memberitahu tidak berasa kecewa dengan kenyataan Timbalan Presiden Seniman, Zed Zaidi yang mempertikaikan kemenangan artis luar di pentas anugerah Malaysia. Malah, Bintang Paling Popular 2011 ini turut mengakui bahawa isu ini sedikit pun tidak menjejaskan reputasinya dalam industri hiburan ini.
“Saya tak ada masalah dengan komen macam itu. Bagi saya, orang yang angkut sampah pun berhak komen sebegitu. Benda ini hanya buang masa dan memeningkan kepala saya saja. Saya tak rasa kecewa kerana saya hanya kecewa jika anak saya tak makan. Saya juga tak merajuk atau lari menangis di tepi kerana isu ini tak menjatuhkan saya langsung.
“Lainlah kalau saya ditangkap sebab merompak dan sebagainya, itu baru menjatuhkan karier saya. Bagi saya, pendapat dia tak menjejaskan saya dalam apa aspek sekali pun. Saya tak rasa terjejas sebab memang dah lumrah dunia, tak semua akan suka kita,” ujarnya ketika ditemui selepas siaran langsung program Wanita Hari Ini, petang tadi.
“Saya tahu isu ini pun dari isteri saya yang terbaca di Twitter. Saya sendiri memang tak suka baca benda yang menjatuhkan orang lain, tidak membina serta yang tidak memajukan industri kita. Saya terkejut kerana masa jumpa di ‘post-party’, kami bertegur dan bersalaman seperti biasa. Saya sendiri tak tahu sama ada dia ada masalah dengan saya atau dengan keputusan.
“Apa-apapun, saya dah menjangkakan isu ini akan berlaku. Tapi, kenapa tahun lepas saya menang Anugerah Skrin, tak timbul pun isu ini. Saya bukannya datang sebagai pendatang haram. Saya datang dari Singapura pun bukan semalam. Malah, saya ambil masa lama untuk berada di tahap sekarang. Jika saya tak menang pun, saya akan sentiasa terus menyokong industri tempatan. Saya tidak akan pernah putus asa dan akan terus berusaha keras untuk mendapatkan persaingan yang sihat.”
Menurut duta minuman M7 ini lagi, “Kita makin lama makin pandai bukan makin bodoh. Bukan senang nak mempengaruhi minda orang Melayu sebab orang Malaysia sekarang dah pandai berfikir. Saya tak ada masalah untuk berlakon dengan dia selepas ini. Saya faham dia masih muda dan tak matang lagi. Namun, kalau terus berperangai macam budak kecil, lebih baik main kat taman permainan atau tepi pantai. Malah, jika dia nak sangat trofi ini, saya tak kisah. Saya ada dua, jadi boleh kongsi,” ujar Aaron dalam nada sinis.
No comments:
Post a Comment