Tuesday, 10 April 2012

Firefly tambah penerbangan Subang-Langkawi

KUALA LUMPUR - Firefly, anak syarikat Malaysia Airlines, menambah empat penerbangan seminggu dalam laluan Subang-Langkawi untuk memenuhi permintaan semasa cuti sekolah.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata kekerapan tambahan itu, iaitu dari 25 Mei hingga 10 Jun tahun ini, ialah pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.

Dengan penerbangan tambahan ini, keseluruhan penerbangan mingguan antara Subang dengan Langkawi akan meningkat daripada 10 kepada 14, sekali gus menambah bilangan tempat duduk mingguan dalam laluan ini daripada 1,440 kepada 2,016.

Ketua Pemasaran dan Komunikasinya, Angelina C Fernandez, berkata dalam satu kenyataan bahawa langkah Firefly menambah kekerapan semasa musim perjalanan puncak ini adalah sejajar dengan inisiatif Tourism Malaysia untuk menggalakkan pelancongan domestik.

Tempat duduk dalam penerbangan tambahan itu kini dibuka untuk jualan. - Bernama

No comments: