Sunday, 1 April 2012

Gerhana di kandang Seladang


PENYOKONG setia Perak sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan kesayangan mereka.


PRESTASI Perak dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini dilihat semakin merudum.Situasi tersebut jelas sekali menerbitkan rasa panik dan kecewa dalam kalangan penyokong setia skuad Seladang yang mahukan barisan kendalian Norizan Bakar itu bangkit daripada 'tidur' mereka.

Selepas tampil bergaya ketika memulakan kempen Liga Super dengan merekodkan lima kemenangan daripada enam perlawanan awal, tiba-tiba prestasi skuad Seladang mula jatuh.

Untuk rekod, kali terakhir Perak melakar kemenangan dalam saingan Liga Super ialah ketika menewaskan Sarawak 2-1 pada 11 Februari lalu.

Sejak kemenangan di Stadium Perak, Ipoh itu, skuad Seladang terus buntu meraih tiga mata penuh.

Lebih mengecewakan, selepas mengharungi 11 perlawanan Liga Super setakat ini, anak-anak buah Norizan tumbang dua kali berturut-turut di hadapan penyokong sendiri.

Selepas menerima kekalahan 1-2 kepada wakil tunggal Singapura, Lions XII (14 Februari), skuad Seladang sekali lagi dimalukan di hadapan penyokong sendiri apabila tewas 0-2 kepada Kelantan pada 30 Mac lalu.

Menambah aib di kem Perak apabila anak-anak buah Norizan gagal meraih kemenangan dalam enam perlawanan terakhir yang dilalui mereka, termasuk tewas 0-1 kepada Terengganu pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 10 Mac lalu.

Ada yang menganggap kemerosotan prestasi Perak ketika ini berpunca daripada taktikal yang diterapkan Norizan mudah dibaca pihak lawan.

Ada juga yang berpendapat, penampilan awang import khususnya penyerang, Lazar Popovic tidak ubah seperti hanya pelengkap kesebelasan utama Perak.

Biarpun 'jodoh' Popovic bersama Perak tidak panjang apabila kontraknya ditamatkan berkuat kuasa hari ini (1 April), keputusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) melamar penyerang kelahiran Serbia tersebut tetap mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong-penyokong Perak.

Mujur kelibat seorang lagi awang import, Michal Kubala dari Slovakia dapat mengubat kekecewaan ribuan penyokong Perak selepas dia merekodkan enam gol setakat ini.

Menyedari sesuatu yang drastik perlu dilakukan, sekumpulan penyokong Perak mula tampil 'bersuara' melahirkan kekecewaan mereka dan berharap Ahli Majlis PAFA tidak lagi 'membutakan mata' dan 'memekakkan telinga' masing-masing.

Bagi mereka yang kebanyakannya 'berpangkalan' di Lembah Klang, skuad kendalian Norizan harus segera bangkit jika tidak mahu melakar 'sejarah tersendiri' apabila diturunkan pangkat beraksi dalam saingan Liga Premier musim depan.

"Saya memang terkejut dengan apa yang dialami Perak ketika ini. Selepas beraksi baik pada awal musim, tiba-tiba prestasi Perak mula jatuh dalam enam perlawanan terakhir.

"Kalah satu hal tetapi kalau kita selalu disajikan dengan prestasi hambar pasukan, penyokong mesti muak untuk melihat aksi pasukan kesayangan mereka.

"Sesuatu yang drastik harus dilakukan dengan kadar segera agar pasukan Perak kembali berada di landasan sebenar.

"Ketika ini, saya lihat pasukan Perak sudah mula tergelincir daripada landasan yang sepatutnya," jelas seorang penyokong setia Perak yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Yob kepada Kosmo! Ahad semalam.

Seorang lagi peminat Perak, Junaidi Jasmin pula berpendapat, corak permainan skuad Seladang yang tidak pernah versatil menjadi antara penyumbang kegagalan Perak.

"Berdasarkan pemerhatian saya, taktikal yang dilakukan Cikgu Jan (Norizan) dalam setiap perlawanan tidak banyak berbeza.

"Kita akan dapat tahu, siapa pemain yang akan berada di benteng pertahanan, siapa yang akan berada di posisi tengah, sayap dan siapa yang bermain di bahagian serangan.

"Di situ sahaja jurulatih pasukan lawan sudah dapat membaca taktikal pasukan Perak dan ini memberikan kelebihan kepada pasukan lawan," jelasnya.

Bagi seorang peminat wanita skuad Seladang, Norlida Salleh, beliau berpandangan, sikap 'membisu' beberapa pihak yang terbabit menjadi antara faktor prestasi Perak semakin merudum.

"Sepatutnya mereka ini bersuara apabila melihat prestasi Perak mula jatuh. Jangan bila sudah tersungkur hingga ke bawah liga, baru hendak bersuara.

"Selagi kita boleh membetulkan keadaan, apa salahnya kita bersuara, semua itu demi kebaikan pasukan juga," katanya.-kosmo

No comments: