KUALA LUMPUR - Pendahulu Liga Super, Kelantan terus garang di persada liga apabila membelasah pasukan kedua tercorot liga, Felda United, 5-1 di Stadium Sultan Muhammed IV di Kota Bharu bagi kekal di tangga teratas liga dengan 26 mata.
Pemain import Kelantan, Nwoha Onyekachi yang sebelum ini dikritik hebat persembahannya muncul watak penting kemenangan The Red Warriors apabila menjaringkan dua gol awal bagi pasukan tuan rumah.
Nwoha membuka tirai jaringan seawal minit ke-3 tetapi dapat disamakan pemain Felda, Azrul Ahmad, seminit kemudian.
Pada masa kecederaan separuh masa pertama, Nwoha kembali meletakkan tuan rumah di hadapan 2-1 sebelum Kelantan mengamuk pada separuh masa kedua dengan tiga lagi jaringan melalui Mohd. Norfarhan Mohamad (minit ke-66), Indra Putra Mahayuddin (minit ke-67) dan Mohd. Badri Radzi (minit ke-80).
Pencabar terdekat, Lions XII terus memberikan saingan kepada Kelantan apabila meraih kemenangan penting ke atas pasukan di tangga keempat, T-Team dengan jaringan 2-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Shahril Ishak membuka tirai jaringan pada minit ke-51 sebelum pantas disamakan oleh penjaring terbanyak Liga Super setakat ini, Zairo Anuar Zailani, tiga minit kemudian.
Tuah tetap menyebelahi Lions XII apabila pengadil memberikan sepakan penalti. lima minit sebelum perlawanan tamat dan mudah disempurnakan Shahdan Sulaiman bagi memastikan mereka masih terus mengekori rapat kedudukan Kelantan.
Terengganu gagal meraih kesempatan bermain di tempat sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Johor FC walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Di Stadium Likas, Sabah dan Selangor berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 dengan skuad bimbingan Justin Ganai itu terlebih dahulu memimpin perlawanan melalui gol Michael Baird pada minit ke-3.
Bagaimanapun, P. Gunalan menyelamatkan maruah Red Giants dengan gol penyamaan pada minit ke-59 bagi memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong ke Shah Alam.
Sementara itu, skuad Bujang Senang melibas PKNS, 4-1 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya melalui dua jaringan pemain muda yang semakin meningkat naik, Ashri Chu Chu pada minit ke-46 dan 81 selain dua gol lagi disumbangkan Shahrul Saperi (minit ke-13) dan Vedran Muratovic (minit ke-65). -Utusan
No comments:
Post a Comment