KUALA LUMPUR - Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak bercadang untuk menarik balik lima pelumba lebuh raya negara yang kini beraksi di Jelajah Thailand 2012 yang berlagsung di Chiangrai, Thailand berikutan kejadian letupan bom kereta di sebuah hotel di Haadyai, selatan Thailand semalam.
Naib Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad berkata, kejadian letupan bom itu tidak membabitkan daerah yang dilalui Jelajah Thailand 2012.
"Kejadian hanya berlaku di daerah Haadyai dan ia tidak membabitkan daerah lain. Kita tidak perlu bimbang kerana laluan pelumbaan tidak membabitkan daerah selatan Thailand itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Naim berkata, bagaimanapun, pihaknya akan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Thailand bagi memastikan keselamatan semua pelumba negara yang berada di negara gajah putih itu.
"Saya tidak fikir kejadian di Selatan Thailand itu akan menjejaskan keselamatan dan semangat pelumba kita yang akan berada di sana sehingga 7 April ini," katanya.
Lima pelumba negara Suhardi Hassan, Muhd Fauzan Ahmad Lufti, Muhammad Rauf Nur Misbah, Amir Mustafa Rusli dan Muhammamed Nur Rizuan Zainal akan memulakan kayuhan perlumbaan prolog sejauh 2.85 kilometer hari ini.
Letupan bom mengegarkan Haadyai, Thailand tengah hari semalam mengorbankan seorang rakyat Malaysia dan 10 lagi mengalami kesan lecur. – Bernama
No comments:
Post a Comment