Tuesday, 10 April 2012

Macau Scam dipantau individu sama

KUALA LUMPUR: Kegiatan beberapa sindiket penipuan melalui telefon atau ‘Macau Scam’ yang berjaya dibongkar dan ditumpaskan polis baru-baru ini, dikesan mempunyai kaitan antara satu sama lain serta didalangi organisasi terancang yang menyasarkan rantau Asia Tenggara sebagai pusat operasi mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, beberapa sindiket ditumpaskan termasuk di Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Selangor baru-baru ini daripada kumpulan berbeza, namun polis percaya mereka diuruskan dan dipantau oleh individu atau organisasi jenayah yang sama.

Menurutnya, ahli sindiket Macau Scam dianggotai warga Taiwan dan China serta menyasarkan mangsa dari negara asal mereka saja, namun tidak beroperasi di negara sendiri dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa tempatan.

“Sindiket penipuan ini memang memilih luar dari negara mereka untuk beroperasi dan antara negara menjadi tumpuan adalah sekitar rantau Asia Tenggara.

“Ketika kita buat operasi menumpaskan sindiket Macau Scam di Pulau Pinang pada 6 Januari lalu, operasi sama turut diadakan di Indonesia, Thailand, Kemboja serta Filipina secara serentak dan ini menunjukkan sindiket berkenaan mempunyai organisasi atau rangkaian yang besar,” katanya di sini, semalam.

Katanya, modus operandi sindiket yang menggunakan perkhidmatan voice over Internet protokol (voip) seperti Skype untuk menjalankan aktiviti penipuan melalui talian menyebabkan kegiatan mereka sukar dikesan.

“Setakat ini, kita hanya menahan kumpulan yang beroperasi di negara ini saja, namun ‘orang besar’ atau ‘dalang’ tidak beroperasi di sini, mereka tinggal di negara mereka dan sukar dijejaki.

“Kumpulan yang diberkas mempunyai ketua masing-masing yang menyelia segala aktiviti penipuan supaya berjalan lancar,” katanya.-Metro

No comments: