Sunday, 22 April 2012

Peluang artis bela diri dalam Bilik 7

pix_gal0
BANYAK kontroversi yang sering berlaku dalam dunia hiburan tanah air namun tidak ramai artis berani tampil ke depan sebagai menjawab dan menepis segala tohmahan dan persoalan yang berlegar di minda peminat.

Sebaliknya, program terbaru yang akan disiarkan NTV7, Bilik 7 yang memulakan siaran pada 5 April lalu, setiap Khamis jam 9 malam akan mengupas dan memberi peluang kepada artis untuk menyelesaikan kekusutan dan berkongsi perkara sebenar mengenai kisah kontroversi yang menyelubungi diri mereka.
Di bawah perantara, Richie Rachman yang akan mengorek keluar segala rintihan dan sisi rahsia yang terbuku daripada diari tetamu selebriti dan pastinya soalan panas yang diajukan menyebabkan wujudnya pendedahan ekslusif daripada mulut selebriti yang diundang.
Antara selebriti yang ditampilkan dalam program sebanyak 13 episod ini ialah Azwan Ali, Zarina Anjoulie, Radhi OAG, Lisdawati Nazaruddin, Raja Azmi, Pian Cecupak, Johan As'ari, Melia Amelia, Mawi, Natasha Hudson, Ayu Damit dan Gambit Saifullah.

Penerbitnya, Engku Azmin Engku Zaini berkata, artis yang diundang mempunyai kisah dan cerita mereka sendiri berdasarkan kontroversi yang pernah melanda mereka dan program ini diwujudkan supaya artis yang dijemput dapat menjelaskan secara lebih terperinci kontroversi dan seterusnya mengelakkan tanggapan buruk terhadap mereka.

"Bagi mengelak timbulnya sebarang masalah, saya sendiri akan bertindak sebagai 'Inspektor' Bilik 7 dan Richie akan mendapat arahan dari dari masa ke semasa melalui alat dengar. Lagipun set Bilik 7 direka menyerupai bilik soal siasat polis," katanya.

Sementara itu, Richie yang bertindak sebagai pengantara berkata, walaupun Bilik 7 sebuah rancangan yang lantang dan bakal menimbulkan kontroversi tetapi sebenarnya membuka peluang untuk tetamu selebriti mendedahkan perkara yang sebenar tanpa berselindung.
"Mungkin sesetengah pihak berpendapat rancangan ini mengetengahkan elemen negatif sebaliknya rancangan ini memberi peluang untuk mereka berkongsi pendapat dan perasaan selain memberi penjelasan ataupun mengakui kesilapan silam mereka. Saya berharap penonton mengambilnya dari sudut positif dan dapat belajar daripada kisah mereka.

"Kadang kala, saya tidak perlu untuk mengajukan soalan panas kerana mereka sudah bersedia dan bersifat terbuka untuk berkongsi bersama penonton walaupun saya diberi kebebasan untuk mengajukan soalan kepada tetamu jemputan. saya puji keberanian dan kesudian mereka untuk ke depan dan di soal siasat oleh saya," katanya.

No comments: