SHAH ALAM: Demi memartabatkan bangsa Melayu dan Islam yang kini diperkotak-katik pihak tertentu, Persatuan Alam Warisan (PAW) ditubuhkan bagi mendidik dan melahirkan generasi muda yang cintakan bangsa dan agama.
Pengerusinya, Noor Azam Abdul Mokhta berkata, penubuhan PAW sejajar dengan usaha untuk mewujudkan semangat daya juang yang tinggi dalam diri orang Melayu yang semakin pudar terutamanya generasi muda.
Selain itu, agama Islam yang selama ini menjadi tunjang kepada orang Melayu dan menjadi agama rasmi negara kini wujud pihak yang berani mempertikaikannya dan menuntut hak kesamarataan sebagai rakyat Malaysia.
“Janganlah bangsa Melayu menjadi seperti Pak Kaduk, menang sorak tapi kampung sendiri yang tergadai.
“Apa yang ditinggalkan generasi terdahulu harus dikekalkan agar generasi akan datang tahu akan asal usul mereka,” katanya sewaktu Majlis Pelancaran PAW, di sini, semalam.
Menurutnya, Perlembagaan negara sepatutnya perlu dihayati sebaik mungkin generasi muda kerana kandungan perlembagaan tersimpan pelbagai amanat yang perlu dipikul agar Melayu dan Islam tidak hilang di Malaysia.
Namun kini, Perlembagaan negara bukan saja tidak dihayati malah tidak difahami dan lebih membimbangkan ada pihak tertentu yang berusaha menuntut agar perlembagaan diubah demi kepentingan peribadi.
No comments:
Post a Comment