Tuesday, 10 April 2012

Rasuah: Timbalan Pengarah SKMM, isteri didakwa

SHAH ALAM 9 April - Timbalan Pengarah Bahagian Kandungan dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Noor Mohamed Khan Mohamed Mastan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan bersubahat menerima rasuah RM250,000.

Suapan itu didakwa diperoleh daripada sebuah syarikat pembekal peralatan forensik multimedia pada Mac lalu.

Sementara itu, isterinya yang sedang hamil dua bulan, Suraya Hani Ahmad Zaki dan pengarah urusan sebuah syarikat swasta, Noorshidin Mohd. Noor pula didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan.

Ia berhubung tuduhan menerima wang suapan itu sebagai upah bagi membantu mendapatkan tender mereka cipta makmal forensik digital SKMM.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Asmadi Hussin dan Hakim M. Bakri Abd. Majid.

Suraya Hani, 32, dan Noorshidin, 40, didakwa menerima suapan RM250,000 daripada Ketua Pengarah Operasi Siaga Informatics Sdn. Bhd. di pejabatnya di Suite 2-6, Level 6, Jalan USJ 9/5T, Subang Business Centre dekat sini pada pukul 10.25 pagi, 14 Mac lalu.

Ia sebagai upah kerana kononnya mereka telah membantu Siaga Informatics memperoleh surat tawaran bagi tender untuk mereka bentuk, melaksana, menguji dan pentauliahan makmal forensik digital SKMM.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda suapan atau mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara Noor Mohamed Khan, 39, yang dituduh bersubahat pula didakwa di bawah seksyen sama dan dibacakan bersama Seksyen 28(1)(c) akta tersebut.

Ketiga-tiga tertuduh juga didakwa atas pertuduhan pilihan iaitu cuba dan bersubahat menipu Mohd. Shukri dengan mengatakan surat tawaran bagi tender tersebut diperoleh hasil bantuan mereka sehingga mendorong Mohd. Shukri menyerahkan wang tunai sebanyak RM250,000 pada masa dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan itu, Suraya Hani yang juga pengurus akaun sebuah syarikat dan Noorshidin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala pertuduhan terhadap Noor Mohamed Khan pula dibaca bersama dengan Seksyen 107 dan Seksyen 511 kanun tersebut.

Pendakwaan kes-kes itu dikendalikan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahamad Sukri Abu Seman.

Asmadi membenarkan Noor Mohamed Khan yang merupakan bapa kepada lapan anak itu dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 23 April ini untuk sebutan kes itu.

M. Bakri pula membenarkan Suraya Hani dan Noorshidin dibebaskan dengan ikat jamin masing-masing RM15,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 27 April ini untuk sebutan kes tersebut.-Utusan

No comments: