Thursday, 12 April 2012

Sasaran Pingat Emas Badminton Olimpik 2012 masih belum tersasar


CHONG WEI menjadi taruhan terbaik kontinjen Malaysia bagi merangkul pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London Julai depan.


JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong masih berada pada landasan yang tepat dalam misi menjelmakan kilauan pingat pada Sukan Olimpik 2012 di London Julai depan.

Bagi Chong Wei yang juga pemain No. 1 dunia, dia diletakkan sebagai sandaran bagi membawa pulang pingat emas buat kontinjen Malaysia, manakala Kien Keat-Boon Heong cukup sekadar meraih pingat tidak kira apa warna sekalipun pada temasya berprestij dunia itu.

Anggota Pasukan Prestasi Tinggi (HPT) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj berkata, peminat-peminat sukan tanah air sudah tidak perlu bimbang dengan kecederaan di bahagian bahu kanan yang dialami Chong Wei sebelum ini.

Katanya, pemain berusia 30 tahun itu telah kembali menjalani latihan sepenuhnya dan kini dalam proses untuk meningkatkan semula tahap keyakinan diri untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan.

"Hari ini (semalam), Chong Wei telah kembali menjalani latihan penuh di bawah kendalian jurulatihnya (Tey Seu Bock).

"Ia merangkumi corak permainan di jaring, melakukan pukulan smash dan corak permainan secara bertahan. Maklum balas yang saya terima daripada Seu Bock, Chong Wei telah melakukan latihan tersebut dengan baik tetapi tetap berhati-hati.

"Jadi saya percaya, Chong Wei akan berada pada tahap prestasi sebenarnya sebelum Sukan Olimpik 2012 bermula nanti," kata James ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebelum ini, Chong Wei mencetuskan kebimbangan peminat-peminat sukan tanah air selepas dia mengalami kecederaan di bahagian bahu kanan ketika aksi final Seluruh England 2012 di Birmingham bulan lalu.

Kecederaan itu memaksa Chong Wei diketepikan daripada beraksi pada kempen Piala Axiata 2012.

Diminta mengulas mengenai Kien Keat-Boon Heong yang dilihat masih bergelut dengan prestasi tidak menentu, James menjelaskan, kedua-dua pemain itu kini bekerja keras untuk kembali mempamerkan kebangkitan.

"Saya sendiri lihat mereka ketika sesi latihan, mereka nampak bersemangat dan bekerja keras. Tiga jurulatih beregu (Tan Kim Her, Pang Cheh Chang dan Yoo Yong-sung) sedang berusaha untuk membantu mereka kembali pada tahap prestasi sebenar.

"Nasihat saya, Kien Keat-Boon Heong perlu sedar mereka diletakkan harapan yang tinggi untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik kali ini dan kini segala-galanya terletak di tangan mereka," jelasnya.

Kemerosotan prestasi yang dipamerkan Kien Keat-Boon Heong sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini jelas menghadirkan kebimbangan pelbagai pihak selepas beregu utama negara itu diletakkan sebagai sandaran bagi meraih pingat di London.-Kosmo

No comments: