PUTRAJAYA 9 April - Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) tidak pernah menaruh dendam terhadap bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang menuduh beliau menjadi punca kekalahannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.
Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun mengakui beliau tidak begitu setuju dengan tindakan Samy Vellu membuang beberapa pemimpin kaum India yang dilihat berpotensi mencabar kedudukannya.
"Saya tidak menyuruh pengundi Sungai Siput supaya tidak mengundi Samy Vellu. Saya juga membuat kritikan terhadap kepimpinan Tun Abdullah Badawi pada ketika itu dan ia memberi kesan kepada pengundi serta menyebabkan mereka tidak menyokong Barisan Nasional (BN).
"Ini bukan soal dendam tetapi soal kekuatan parti komponen. Apabila anda sebagai pemimpin melakukan sesuatu yang melemahkan komponen BN, saya terpaksa berbuat demikian," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Samy Vellu yang menyifatkan Dr. Mahathir sebagai punca kekalahannya pada pilihan raya 2008 seperti yang disiarkan akhbar New Sunday Times semalam.
Dalam wawancara yang disiarkan semalam, Samy Vellu mendakwa jumlah undi rosak di Parlimen Sungai Siput disebabkan nasihat bekas Perdana Menteri itu kepada para pengundi di situ.
Dr. Mahathir berkata, tindakan membuang pemimpin kaum India seperti Datuk S. Subramaniam, Datuk K. Pathmanathan dan Tan Sri M. G. Pandithan hanya melemahkan MIC.
"Apabila beliau nampak seseorang yang mempunyai potensi, beliau akan pastikan mereka akan dikeluarkan. Apabila kita buang seseorang dia tidak akan keluar seorang saja, tetapi membawa bersama penyokongnya keluar dari parti, hasilnya MIC menjadi lemah," katanya.
Mengenai kedudukan MIC hari ini, Dr Mahathir berkata parti itu jauh lebih kuat apabila Samy Vellu menyerahkan jawatan presiden kepada penggantinya Datuk Seri G. Palanivel, selepas 31 tahun.
"Ramai yang datang semula. Sesetengah daripada mereka yang tidak gembira dengan Samy, kini masuk semula. Saya harap MIC akan mendapatkan semula kekuatannya pada pilihan raya umum akan datang," kata Dr Mahathir.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, sepanjang pengalamannya menerajui UMNO, beliau bersedia menerima kembali pemimpin parti yang pernah cuba menjatuhkannya kerana ia penting untuk kekuatan parti.
Malah, katanya, beliau turut melantik kebanyakan pemimpin yang menentangnya pada ketika itu antaranya Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Datuk Seri Rais Yatim kerana mahu UMNO kuat.
"Dan saya bagi mereka jawatan dalam kerajaan kerana saya fikir mereka ada pengikut, kalau tidak terima, UMNO akan hilang banyak ahli," katanya.
Ketika ditanya mengenai penganjuran demonstrasi jalanan, beliau berkata, adalah tidak perlu untuk mengadakan sesuatu yang membawa kesan negatif kepada negara ini.
Katanya, penganjuran demonstrasi jalanan juga tidak mendatangkan keuntungan kepada banyak pihak.
No comments:
Post a Comment