Wednesday, 11 April 2012

Tawaran Terbaik Groupon Fahami Apa Yang Pelanggan Mahu

Joel Neoh.

TERLALU banyak laman web menyediakan tawaran istimewa membuatkan pengguna Internet keliru mengenai pilihan terbaik terutama di kalangan mereka yang gemar membeli-belah secara dalam talian.

Serabut memikirkan tentang pelbagai pilihan yang membuatkan pengguna rambang mata memungkinkan segelintir mereka kurang bijak membuat keputusan pembelian.

Namun tidak bagi Groupon Malaysia di www.groupon.com.my yang tidak bersandarkan pada posisinya sebagai laman web yang menawarkan tawaran jauh lebih murah semata-mata.

Ketua Pegawai Eksekutif Groupon Malaysia (Groupon), Joel Neoh berkata, Groupon bukan sahaja menawarkan tawaran terbaik, malah memberi cadangan kepada pengguna Internet mengenai tawaran yang bersesuaian dengan mereka.

“Ia bukan mengenai apa yang kami tawarkan semata-mata, tetapi apa yang pelanggan mahu beli. Setiap tawaran bergantung pada soal pasaran tetapi kemahuan dan keperluan pengguna seharusnya diambil kira,” katanya kepada mStar Online, baru-baru ini.

Joel berkata, Groupon menggabungkan antara pedagang dengan pengguna menerusi tawaran terbaik, yang merupakan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

Lebih menarik, Groupon bercirikan tempatan dan relevan di mana setiap tawaran itu menepati cita rasa dan keperluan masyarakat di Malaysia.

“Apa yang kami lakukan menerusi pasukan perancangan adalah membuat tinjauan, mencuba dan memperbaiki kesilapan, termasuk faktor pasaran pembeli tempatan.

“Apabila kami tahu apa yang mereka mahu beli, kami menawarkannya kepada mereka dan jika sambutan semakin menurun, kami akan menukar dan mencuba (tawaran) yang lain pula,” kata Joel yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Groupon bagi Taiwan.

Groupon Malaysia dilancarkan pada Januari 2011 yang merupakan salah satu cawangan bagi Groupon Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Menggunakan konsep pembelian secara kolektif, ia menawarkan tawaran dan diskaun menarik sehingga 70 peratus setiap hari.

Sesuatu yang baru.

Groupon Malaysia menawarkan pelbagai tawaran dan diskaun menarik untuk pelanggan.

Menurut Joel, sehingga kini, Groupon Malaysia mempunyai kira-kira 1.2 juta pengguna di seluruh Malaysia dan daripada jumlah itu, antara 50 sehingga 60 peratus merupakan pelanggan yang kembali membeli.

Sebanyak 2,500 pedagang yang bekerjasama dengan Groupon Malaysia dalam menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan dengan tawaran terbaik kepada pengguna.

“Mungkin sebelum kewujudan Groupon, segelintir masyarakat tidak pernah terfikir untuk membuat sebarang pembelian secara dalam talian.

“Tetapi apabila kami memperkenalkan tawaran seperti pakej membuat terjunan udara pada harga yang menarik, ia dilihat sebagai sesuatu yang baru oleh masyarakat dan kenapa tidak untuk mencubanya.

“Ia merupakan antara tarikan kami, memperkenalkan sesuatu yang unik kepada pengguna, namun harganya berpatutan, yang memberi faedah antara satu sama lain,” katanya.

Mengenai keunikan itu, Joel tidak menafikan ia sebagai cabaran suatu ketika dahulu, namun katanya, kini tidak lagi apabila kajian yang dibuat memudahkan segalanya.

“Keunikan Groupon adalah menawarkan pengalaman kehidupan yang menakjubkan dengan promosi yang menarik serta harga berpatutan.

“Dan pada masa yang sama, kami sebagai pengantara kepada para pelanggan dan rakan niaga menawarkan sokongan yang terbaik kepada kedua-duanya,” katanya.

Beliau menambah, perkara itu disifatkan sebagai janji, dengan memastikan apa yang disampaikan secara konsisten dan berkesan, melangkaui produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna.

Katanya lagi, ia bukan sahaja mengenai memenuhi keperluan dan keinginan, menyelesaikan masalah pelanggan, bahkan memberi mereka untuk menikmati pengalaman membeli-belah.

“Setiap pelanggan mempunyai keinginan yang berbeza maka kami menyediakan pelbagai tawaran sebagai pilihan dan cadangan.

“Nasihat kami membantu mengatasi kekeliruan pelanggan terhadap pelbagai tawaran sehingga menyukarkan mereka untuk membuat pilihan yang terbaik,” katanya.

Bereksperimen dengan tawaran.

Joel (tengah) bersama sebahagian kakitangannya yang merupakan tulang belakang membantu memperkukuhkan Groupon Malaysia di negara ini.

Tawaran Groupon terbahagi kepada tiga segmen iaitu tawaran produk dan perkhidmatan di kawasan setempat, pada masa ini melibatkan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, Ipoh dan Melaka.

Selain itu, Groupon turut menyediakan tawaran istimewa yang lebih murah dan berpatutan bagi barang keperluan pengguna serta pengembaraan.

Bagi segmen kawasan setempat, Joel berkata, kira-kira 50 peratus meliputi tawaran berkaitan makanan dan minuman, manakala kesihatan dan kecantikan adalah 30 peratus serta aktiviti dan perkhidmatan lain adalah 20 peratus.

“Setakat ini, lebih sejuta baucar terjual dengan nilai penjimatan keseluruhan yang dinikmati oleh pelanggan sebanyak RM19.5 juta,” katanya.

Melihat kepada perkembangan Groupon pada tahun lalu, Joel berkata, pihaknya dalam usaha untuk memperkenalkan konsep pembelian itu kepada orang ramai.

Dengan melangkah ke hadapan, masyarakat menjangkakan ia sebagai satu laman web dagang untuk membeli-belah yang menarik, selesa, mudah dan menjimatkan.

Sehubungan itu, katanya, peringkat seterusnya pada tahun ini adalah menyediakan lebih banyak tawaran istimewa dengan variasi dan pengalaman beli-belah lebih baik.

“Antaranya adalah gajet dan teknologi yang kini semakin mendapat perhatian masyarakat dan kami sentiasa mengikuti perkembangan semasa,” katanya.

Sejajar dengan perkembangan itu, Groupon memperkenalkan aplikasi rasminya bagi pengguna iPhone dan iPod touch yang boleh didapati Stor Aplikasi Apple bagi membolehkan pelanggan melihat pelbagai tawaran menarik dari seluruh negara daripada kemudahan mudah alih yang lebih selesa.

Selain itu, Joel berkata, segmen pengembaraan turut dipertingkatkan berikutan ia mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Bagaimanapun, kami terus bereksperimen dengan tawaran-tawaran lain bagi menyajikan sesuatu yang berbeza dan unik kepada pelanggan.

“Semuanya adalah mengenai pengalaman membeli-belah terbaik untuk pelanggan Groupon. Dan sekarang adalah untuk menambah baik pengalaman itu,” katanya.-Mstar

No comments: