KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah belum sedia memberikan sebarang ulasan terhadap respons yang diberikan oleh Sultan Ahmad Shah yang tidak bersetuju dengan tindakannya untuk menjadi orang tengah dalam kes penggantungan Tan Sri Annuar Musa.
Sebaliknya, Tengku Abdullah memilih untuk mengulas mengenai perkara tersebut kepada pihak media hari ini dalam majlis pengumuman kedatangan dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dan Manchester City di salah sebuah hotel di Subang.
“Tunggulah esok ada majlis berkaitan dengan bola. Saya akan cakap esok. Hari ini kita tumpu pada hoki dahulu, lebih baik cakap pasal hoki, ” katanya kepada pemberita selepas menonton perlawanan persahabatan skuad remaja Projek 2013 berdepan skuad remaja Pakistan di Stadium Hoki Bukit Jalil, semalam.
Tengku Abdullah Sabtu lalu melalui kenyataan media bersedia menawarkan diri menjadi orang perantaraan bagi menyelesaikan keretakan FAM dan Annuar selaku Timbalan Presiden yang baru sahaja menjalani penggantungan setelah didapati bersalah mengeluarkan kenyataan terbuka mengkritik skuad kebangsaan.
Annuar bersalah kerana melanggar Artikel 88 Statut FAM edisi 2010-14 di bawah Perkara 4.5.8 (I) dan 4.5.8 (III) yang membenarkan hanya Presiden dan Setiausaha Agung FAM mengeluarkan kenyataan media kecuali mereka mengizinkan pihak lain berbuat demikian.
Bagaimanapun, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang juga ayahanda Tengku Abdullah tidak setuju dengan tindakan Timbalan Presidennya yang mahu menjadi orang tengah dalam krisis antara FAM dan Tan Sri Annuar Musa.
Ini kerana menurut baginda, tawaran itu sepatutnya tidak seharusnya berlaku kerana keputusan penggantungan dua tahun enam bulan telah dilakukan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM baru-baru ini dan semua orang perlu menghormati perlembagaan.
Malahan Sultan Ahmad Shah menganggap ia sebagai bertentangan dengan perlembagaan sambil mengingatkan bukan Annuar sahaja yang pernah mengalami nasib yang sama sebaliknya bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar pernah digantung selama tiga tahun dan Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd. Akil dua kali digantung pada 2001 dan 2006.
Namun, Sultan Ahmad Shah enggan campur tangan mengenai apa yang diperkatakan Tengku Abdullah.-utusan
No comments:
Post a Comment