
PENYERANG Terengganu, Forkey (tengah) dikawal ketat dua pertahanan Tampines Rovers pada aksi Piala AFC di Kuala Terengganu semalam.
PENYERANG Terengganu, Forkey (tengah) dikawal ketat dua pertahanan Tampines Rovers pada aksi Piala AFC di Kuala Terengganu semalam.
TERENGGANU gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas mengejut 0-2 kepada kelab Singapura, Tampines Rovers pada aksi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam.
Turun dalam misi memburu tempat ke pusingan kedua, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu jelas keletihan untuk mengimbangi permainan pantas pasukan pelawat pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Watak kepada kekalahan memalukan juara Piala FA tersebut ialah Aleksandar Duric apabila penyerang berusia 42 tahun itu meledak kedua-dua gol, masing-masing pada babak pertama dan kedua permainan.
Duric yang juga kapten Tampines memulakan rentak jaringan pelawat pada minit ke-36 apabila bijak menyambar hantaran lawan sebelum mudah menewaskan penjaga gol skuad Penyu, Sharbinee Allawee.
Ketika permainan berbaki seminit pada babak kedua, Duric sekali lagi menghukum kealpaan pertahanan Terengganu apabila rembatan kencangnya menerjah jaring.
Terdahulu, Francis Forkey Doe hampir meletakkan Terengganu di hadapan pada minit ke-18, namun tendangan bintang import Liberia itu dari jarak 20 meter sekadar melewati palang gol.
Peluang terbaik tuan rumah untuk memperoleh jaringan hadir pada minit ke-51 apabila Joseph Kalang Tie yang hanya berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Tampines, Sasa Dreven gagal menyempurnakan peluang tersebut.
Kekalahan semalam hadir hanya tiga hari selepas skuad kendalian Mat Zan itu tewas besar 1-6 kepada Selangor pada aksi Liga Super.
Malah, Terengganu turut gagal mengulangi pencapaian hebat apabila berjaya menjinakkan Tampines 1-0 pada perlawanan pertama di Singapura minggu lalu.
“Saya tahu pemain Terengganu memang keletihan dan beraksi di bawah panas terik pada petang ini (semalam) memang memberi kesukaran kepada mereka.
“Jadi, kami gunakan peluang ini mencari gol, sekali gus menghidupkan peluang kami untuk mara ke pusingan kedua,” jelas pengendali Tampines, Steven Tan.
Selepas mengharungi empat perlawanan, Terengganu masih kekal di tangga kedua Kumpulan F dengan enam mata, manakala Tampines mengekori di belakang dengan empat mata.
No comments:
Post a Comment