Sunday, 15 April 2012

Tiga penyamun tersungkur di bulatan Taman Billion, Lebuh Raya Lingkaran Kedua (MRR2), Cheras

ANGGOTA polis memeriksa mayat penjenayah yang ditembak mati di bulatan Taman Billion, Lebuh Raya MRR2, Cheras semalam.


KUALA LUMPUR – Sekumpulan penjenayah yang melarikan enam dulang barang kemas bernilai RM600,000 di sebuah kedai emas dekat Seksyen 18, Shah Alam pada 6 April lalu kecundang apabila mereka mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di bulatan Taman Billion, Lebuh Raya Lingkaran Kedua (MRR2), Cheras di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, dua lelaki mati di tempat kejadian sementara seorang lagi suspek yang cedera parah disahkan mati semasa dalam perjalanan ke hospital.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah memberitahu, suspek dikejar selepas cuba melarikan diri ketika ditahan sepasukan anggota polis berdekatan kawasan Hospital Pantai Cheras.

“Suspek yang pada mulanya dikesan menaiki kenderaan Proton Exora di sekitar kawasan Taman Cheras Makmur berdekatan Hospital Pantai cuba melarikan diri melalui Lebuh Raya MRR2 menghala ke Bukit Jalil.

“Selepas kira-kira satu kilometer (km) dikejar, kenderaan suspek telah melanggar dua buah kereta orang awam yang berhenti di lampu isyarat bulatan Taman Billion sebelum dikepung oleh anggota polis.

“Berikutan tindakan suspek yang melepaskan beberapa tembakan ke arah anggota polis, kita terpaksa melepaskan tembakan balas di situ,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Difahamkan, suspek diburu oleh satu pasukan khas yang melibatkan anggota dari Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (IPK) dan IPK Kuala Lumpur selepas melakukan rompakan bersenjata di Shah Alam, 6 April lalu.

Menurut Chin Wah, dua daripada suspek masing-masing berumur 24 tahun, seorang lagi yang berusia 40 tahun pula didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk samun dan dadah. Ketiga-tiga mereka merupakan warga tempatan.-kosmo

No comments: