Thursday 10 May 2012

Faizal Saari berazam Cipta kejayaan buat Malaysia

RAI...aksi Faizal (depan) meraikan gol pertama ketika menentang Korea Selatan, Sabtu lalu.
RAI...aksi Faizal (depan) meraikan gol pertama ketika menentang Korea Selatan, Sabtu lalu.

PELEDAK berbisa negara Faizal Saari berazam mencipta kejayaan buat negara pada aksi separuh akhir Kejohanan Hoki Remaja Asia Ke-7 di Stadium Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Bukit Serindit, petang esok.

Selepas mencipta hatrik pada aksi berdepan Iran selain dua gol ketika membelasah Korea 6-3 dan satu gol menewaskan Jepun 3-1, anak kelahiran Rantau Panjang, Kelantan itu mahu menjulang kejayaan negara muncul juara Asia buat kali pertama.

Sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1987 di Karachi, Pakistan, skuad negara hanya meraih naib juara sebagai pencapaian terbaik pada edisi di Kuala Lumpur.

Kehebatannya mencipta gol di depan gawang sehingga di geruni lawan jelas menjadi senjata negara berdepan juara bertahan itu.

Sambil mengakui lawan memiliki benteng kebal dan permainan pantas yang sukar dibaca, Faizal yakin rakan sepasukan mampu mempamerkan aksi konsisten.

Menurutnya, sokongan padu peminat jelas membakar semangat skuad negara untuk bergerak agresif memburu jaringan dan mencipta kemenangan.

Mengakui amat teruja meletakkan negara beraksi di pentas Piala Dunia Remaja 2013 New Delhi, dia turut mengharapkan bonus kejayaan menewaskan lawan untuk memburu mahkota Asia.

Faizal yang turut beraksi bersama adiknya Fitri Saari, 18, dalam skuad itu menganggap kehadiran keluarga tersayang termasuk ayah, Saari Zakaria dan ibunya, Asiah Abdullah membakar semangat mereka.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, Malaysia mampu menyekat India untuk muncul juara hatrik selepas mereka unggul pada edisi ke-5 dan 6.

Dengan prestasi konsisten menerusi tiga kemenangan tanpa kalah, tidak mustahil misi menjuarai kejohanan mampu menjadi kenyataan.-Metro

No comments: