Thursday 10 May 2012

‘Kampung Siam’

SEWA...rumah dipercayai disewa warga Thailand di Kuang, Sungai Buloh.
SEWA...rumah dipercayai disewa warga Thailand di Kuang, Sungai Buloh.
PERLU DIPANTAU...rumah sewa yang dipercayai menjadi kediaman warga Thailand di Kuang Sungai Buloh.
PERLU DIPANTAU...rumah sewa yang dipercayai menjadi kediaman warga Thailand di Kuang Sungai Buloh.

SELAYANG: Kehadiran warga Thailand untuk berniaga di sini sejak 1990-an, mungkin satu perkara biasa bagi masyarakat kita, namun pihak berkuasa perlu mengambil tindakan jika mereka melanggar undang-undang.

Ini kerana ramai warga Thailand yang datang ke sini menggunakan pas lawatan sosial dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), namun tinggal di sini sehingga 28 hari dalam tempoh sebulan.

Tinjauan Metroplus di Kuang, dekat sini, mendapati wujud sekumpulan warga Thailand yang menetap di sebuah kawasan milik warga tempatan yang mempunyai beberapa rumah sewa.

Pemilik rumah sewa berkenaan yang enggan dikenali turut mengesahkan tujuh rumah sewanya didiami warga Thailand.


“Semua rumah kosong ini disewa warga Thailand dengan bayaran RM300 sebulan. Semua mereka keluar bekerja pada awal pagi dan pulang jam 8 malam.


“Bagaimanapun, saya tidak pernah bertanyakan permit atau pasport mereka kerana hanya berurusan dengan wakil mereka,” katanya.

Difahamkan, beberapa van membawa lapan hingga 10 orang ke destinasi tertentu bertujuan menjual barang termasuk tikar dan pakaian secara bergerak.

Malah, ada juga yang pergi hingga ke Klang. Sebaik tiba di destinasi terbabit, mereka diletakkan berasingan untuk menjual barang sebelum menaiki van semula pada waktu petang.

Penduduk, Razali Husin, 54, berkata, tindakan kumpulan terbabit tetap salah kerana melanggar syarat permit lawatan sebulan yang diberikan Imigresen.

“Ia bukan satu perkara baru, tetapi kewujudan mereka yang ramai di sini seolah-olah menunjukkan mereka tidak pernah dikenakan tindakan undang-undang.

“Malah, bagi memudahkan urusan mereka untuk menjual barangan secara bergerak ketika berada di Malaysia, mereka menyewa beberapa rumah penduduk tempatan.

“Sepanjang mereka berada di sini, tempat tinggal, sarapan dan makan malam disediakan individu yang membawa mereka datang ke sini,” katanya di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, tindakan warga Thailand itu salah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana menyalahgunakan visa lawatan sementara.

“Sekiranya didapati bersalah di bawah Akta Imigresen, mereka boleh didenda RM200 dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia.

“Dalam hal ini, kami mendapati sindiket sama ada didalangi penduduk tempatan mahupun warga Thailand membawa masuk kumpulan ini.

“Dalang terbabit boleh dikompaun sehingga RM500,000 atau penjara 20 tahun sekiranya didapati bersalah melanggar Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Manusia dan Akta Anti Penyeludupan Migran,” katanya.

Katanya, Imigresen memandang serius perkara ini dan meminta orang ramai memberi maklumat mengenai lokasi operasi dan tempat tinggal kumpulan ini bagi memudahkan pihaknya mengekang masalah penyalahgunaan visa.-Metro

No comments: