Thursday 10 May 2012

Litar lumba mini sepi di Kompleks Sukan Tan Sri Dato’ Dr Mohd Said

SEREMBAN: Litar lumba mini di Kompleks Sukan Tan Sri Dato’ Dr Mohd Said, Seremban 2, di sini, kini ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’ berikutan tidak menerima kunjungan.

Kompleks yang dibuka sejak empat tahun lalu itu suram dan tidak terjaga, sekali gus berkemungkinan bakal menjadi projek gajah putih.


Walaupun dilengkapi litar dan tempat letak kenderaan yang luas, kompleks itu masih tidak mencapai maksud pembinaannya untuk menarik peminat kereta mini beraksi di litar terbabit.

Tinjauan Metroplus mendapati keadaan litar lumba mini itu seperti tidak terurus, manakala ranting serta daun kering bersepah selain pentas peserta kereta tidak diselenggara.


Pengawal keselamatan, Mohd Hatta Mohd Yusof, 26, berkata, kawasan itu sudah lama tidak dikunjungi orang awam selain tiada penyelenggaraan menyebabkan kawasan terbabit terbiar dan suram.


“Aktiviti kereta kawalan jauh mempunyai pengikut ramai terutama dari seluruh negara, sekali gus mewujudkan aktiviti sihat kepada golongan muda. Amat rugi jika litar mini ini sepi sedangkan boleh dijadikan sebagai satu produk pelancongan di Seremban.

“Saya difahamkan, pernah ada surat diusulkan kepada pihak berkaitan untuk membaik pulih kawasan itu, namun sehingga kini masih tiada tindakan diambil,” katanya.


Bagi Mariam Satar, 31, pihak bertanggungjawab perlu mengadakan pelbagai aktiviti bagi menarik pengunjung datang ke situ berikutan boleh dijadikan hobi berfaedah buat remaja.

“Kos pembinaan tinggi bagi membina kawasan itu tidak sepatutnya dibazirkan. Oleh itu, sebaiknya aktiviti sampingan bersesuaian dengan industri sukan kereta kawalan jauh diadakan bagi tujuan promosi.


“Selain itu, menaik taraf atau menyelenggara kawasan itu dengan membina lebih banyak kemudahan asas mungkin boleh menarik peminat kereta kawalan jauh dan mengadakan pertandingan seperti di awal pembukaan kompleks terbabit,” katanya.


Pengunjung yang mahu dikenali sebagai Jackie, 36, berkata hanya empat atau lima peminat kereta kawalan jauh beraksi di litar itu pada hujung minggu, manakala hari selebihnya ia terbiar sepi.


“Mungkin ketiadaan papan tanda menyebabkan kawasan ini kurang mendapat perhatian. Selain itu, tidak ramai yang mengetahui litar ini wujud menyebabkan orang awam lebih gemar bermain di Taman Rekreasi, Seremban 2,” katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abd Samad Ibrahim ketika dihubungi berkata, tiada sebarang aduan diterima mengenai perkara berkenaan dan ia berada di bawah tanggungjawab Majlis Perbandaran Seremban (MPS).


“Pemantauan bagaimanapun akan dibuat dan jika perlu, saya akan berbincang dengan MPS untuk mempromosikan atau membaik pulih infrastruktur di kawasan terbabit kerana ia sebuah kawasan riadah yang bagus,” katanya.

No comments: