Saturday, 4 February 2012

Amaran Arteta

LONDON: Mikel Arteta memberi amaran kepada Arsenal supaya segera meningkatkan prestasi atau berdepan kemungkinan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di luar kelompok empat terbaik buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun sejak kali terakhir berada di kedudukan kelima pada 1996.

Gunners muncul sebagai kuasa besar EPL sejak menamatkan saingan di kedudukan ke-16 pada 1996 dan Arsene Wenger kini berdepan satu lagi cabaran besar dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan dan memastikan slot ke Liga Juara-Juara musim depan terjamin.


Perlawanan terakhir menentang Bolton sekurang-kurangnya berjaya mengelakkan pasukan dari London utara itu daripada mengalami kekalahan keempat berturut-turut.

Namun mereka mensia-siakan peluang untuk merapatkan jurang dengan Chelsea yang berada di kedudukan keempat liga kepada tiga mata.


Kini Gunners mesti segera mendapatkan rentak kemenangan ketika menentang Blackburn Rovers yang akan berkunjung ke Emirates namun bukan tugas mudah buat mereka kerana Blackburn juga terdesak memungut mata untuk mengelak daripada zon penyingkiran.


Tekanan makin memuncak apa lagi pengurus dari Perancis itu gagal membuat pembelian pemain ternama pada tempoh perpindahan biarpun dana sudah tersedia.

Click Here

Arteta, pemain tengah Sepanyol juga sedar sudah tiba masanya untuk mereka bangkit dan mengelak kekalahan terutamanya ketika berdepan Chelsea, Newcastle United dan Liverpool yang kini menduduki tangga keempat hingga keenam.


“Untuk menamatkan saingan liga di empat kedudukan teratas semakin sukar tapi semuanya bergantung kepada kami,” kata Arteta. “Kami mempunyai bakat dan kualiti untuk melakukannya tapi kami perlu mempamerkannya setiap hari.

“Saya yakin kerana kami berlatih bersama setiap hari dan saya tahu sejauh mana bagusnya kami cuma kami mesti menunjukkannya setiap hari, bukan setiap dua atau tiga minggu.” - AFP

No comments: