Saturday, 4 February 2012

Balboa gelisah

MALABO (Equatorial Guinea): Equatorial Guinea mengakui mereka tidak suka bertemu Ivory Coast pada perlawanan suku akhir Piala Negara-Negara Afrika 2012, awal pagi esok.

Pertemuan di Estadio de Malabo itu sesuatu yang dianggap sebagai perlawanan langit dan bumi dalam salah satu aksi lapan pasukan terbaik apabila membabitkan pertemuan antara dua pasukan yang dipisahkan dengan 133 anak tangga dalam ranking dunia Fifa awal bulan ini.


Nama Ivory Coast sudah cukup sinonim dalam Liga Perdana Inggeris dengan kehadiran nama seperti pasangan adik-beradik, Kolo dan Yaya Toure yang beraksi bersama Manchester City, Didier Drogba dan Salomon Kalou (Chelsea) dan Gervinho (Arsenal).

Manakala Equatorial Guinea tidak mempunyai seorangpun pemain yang berstatus antarabangsa dan beraksi di kejohanan Afrika itu hanya kerana meraih tempat secara automatik sebagai tuan rumah.


Persiapan Ivory Coast untuk menghadapi kejohanan itu berjalan secara profesional namun Equatorial Guinea menukar jurulatih kurang daripada tiga minggu sebelum sepak mula dengan kapten pasukan, Rodolfo Bodipo tidak dapat diturunkan sejak perlawanan pertama kerana kecederaan.


Ivory Coast menang ke atas Sudan, Burkina Faso dan Angola dengan tahap permainan paling minimum manakala Equatorial Guinea mengejutkan Libya dan Senegal sebelum tewas kepada juara kumpulan, Zambia.

Click Here

“Saya berharap kami dapat bertemu Ivory Coast di final dan bukannya sekarang,” kata pemain tengah, Javier Balboa, yang pernah beraksi bersama Real Madrid dan Benfica namun kini mewakili Beira Mar di Portugal.


“Ia bukan kerana kami tidak mampu menewaskan mereka tapi kerana status pemain bintang yang membarisi pasukan itu sangat menggerunkan. Ramai yang meletakkan sasaran yang tinggi kepada kami,” katanya.

“Ia akan mendatangkan bencana sekiranya kami disingkirkan di suku akhir dan ramai akan kecewa.” - AFP

No comments: