HARAPAN skuad terjun meraih tiket kelayakan ke Olimpik menerusi dua muka baru, Traisy Vivien Tukiet dan Ooi Tze Liang semakin cerah apabila prestasi kedua-duanya yang sedang menjalani latihan di China ketika ini dilaporkan semakin meyakinkan.
Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum), Edwin Chong berkata, musim sejuk di China ketika ini diibaratkan medan latihan terbaik Traisy dan Tze Liang dalam membiasakan diri berdepan Piala Dunia Fina, di London yang berbaki 15 hari lagi.
“Jika dibandingkan dengan muka lama, mereka sudah biasa menjalani latihan serta kejohanan luar negara. Namun, sebaliknya dilaporkan di sana (China) Traisy dan Tze Liang mempamerkan prestasi konsisten tanpa sebarang masalah dengan tahap terjunan semakin baik. “Sememangnya, saya mengharapkan tuah latihan di China untuk mereka tampil lebih hebat di Piala Fina nanti. Kini sasaran Asum untuk meraih lebih banyak tiket ke Olimpik terutama menerusi dua muka baru ini semakin cerah.” katanya.
Traisy dan Tze Liang diberi kepercayaan untuk turut sama menyertai bintang terjun Pandelela Rinong, Bryan Nickson Lomas, Yeoh Ken Nee dan Leong Mun Yee menjalani latihan sebulan di China sejak 12 Januari lalu bagi berdepan Piala Dunia Fina yang menjadi medan terakhir merebut tiket kelayakan ke Olimpik.
Dalam barisan penerjun senior, hanya Mun Yee masih ketinggalan berbanding tiga penerjun negara yang sudah layak ke Olimpik, Bryan dalam acara 3m papan anjal dan 10m platform individu, Ken Nee, 3m papan anjal individu serta Pandelela dalam acara 10m platform individu. Selepas tampil cemerlang di Sukan Sea Indonesia, tahun lalu, Traisy, 17, dan Tze Liang, 18, menjadi atlet baru Asum yang diharapkan berjuang dalam mana-mana temasya akan datang.
No comments:
Post a Comment