LONDON: Manchester City mahu kembali memberi tekanan kepada pencabar kejuaraan awal pagi esok dengan menyasarkan kemenangan ke atas Fulham buat mengukuhkan cengkaman di tangga teratas Liga Perdana Inggeris.
City mempamerkan aksi mengecewakan di awal kempen 2012 apabila tersingkir daripada Piala FA dan Piala Liga sementara tumpas di tangan Sunderland dan Everton yang mengakibatkan skuad kendalian Roberto Mancini itu kini berkongsi mata dengan pasukan di tangga kedua, Manchester United.
Namun dengan United berdepan ujian getir dalam kunjungan ke arena Chelsea esok manakala pasukan di tangga ketiga Tottenham bertandang ke Liverpool pada Isnin, City boleh kembali menerajui liga dengan kelebihan selesa.
Mancini menyalahkan diri sendiri atas kekalahan mengejutkan 0-1 di Everton Selasa lalu yang membolehkan United menyamakan mata dengan musuh jiran setempat itu.
Mancini berkata, beliau membuat beberapa kesilapan dalam percaturan menentang Everton dan kesilapan itu tidak akan diulangi kerana City berazam untuk mengekalkan rekod bersih 100 peratus di laman sendiri menentang Cottagers.
“Saya mengakui kesilapan sendiri. Ia penting untuk saya menyedarinya kerana saya tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama pada perlawanan seterusnya,” kata Mancini.
Click Here
“Kami masih lagi di tangga teratas. Kami masih ada 15 perlawanan. Adalah penting untuk kami menang di gelanggang sendiri Sabtu ini.” Sementara itu United akan kembali menggunakan khidmat Wayne Rooney, Nani dan Ashley Young bagi kunjungan ke Stamford Bridge yang sering menghantui anak buah Alex Ferguson kebelakangan ini.
Meskipun United menewaskan Chelsea di Stamford Bridge pada suku akhir Liga Juara-Juara musim lalu, Ferguson masih tidak boleh melupakan kekecewaan pasukannya dalam perlawanan liga kedua-dua pasukan di gelanggang itu.
Musim lalu, sepakan penalti kontroversi Frank Lampard membolehkan Chelsea menang 2-1 manakala pada 2010 United dikecewakan dengan jaringan kemenangan John Terry yang dipercayai Ferguson sebagai tidak sah.
“Perlawanan di Chelsea dalam beberapa tahun lalu amat sukar dan kami kurang bernasib baik di sana yang menyebabkan kami meraih keputusan mengecewakan,” kata Ferguson. - AFP
No comments:
Post a Comment