Saturday, 4 February 2012

Hamilton mahu kekal di McLaren


HAMILTON (kanan) mahu mengakhiri kariernya di McLaren jika boleh selepas menyaksikan jentera terbaru pasukan itu, MP4-27, Rabu lalu.


LONDON - Lewis Hamilton berharap dapat menyelesaikan masa depannya bersama McLaren pada awal kempen Formula Satu (F1) 2012 supaya sebarang spekulasi nanti tidak akan menjejaskan fokusnya memenangi kejuaraan dunia.

Kontrak pemandu Britain itu akan berakhir hujung tahun ini dan walaupun diramal kekal di McLaren, masih ada khabar angin mengaitkannya dengan perpindahan ke Red Bull selepas dia mengadakan perjumpaan rahsia dengan Christian Horner tahun lepas.

Walaupun masih tiada jalan penyelesaian, namun Hamilton menunjukkan kesediaannya untuk duduk berbincang dengan McLaren selepas beberapa perlumbaan F1 musim ini bagi menentukan masa depannya.

Buat masa ini, fokus saya masih kepada persediaan bagi musim baru," kata Hamilton.

"Mungkin selepas beberapa perlumbaan, kami akan duduk dan menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.

"Kemudian kami baru boleh fokus kepada baki saingan tahun ini tanpa perlu bimbang tentang tugas yang masih belum selesai dan kamu (media) juga tidak perlu lagi tanya mengenainya.

"Jadi, saya akan cuba menyelesaikannya pada suatu peringkat, mungkin pada awal saingan berbanding hujung tahun," katanya.

Hamilton kembali menjadi perhatian pada sesi pelancaran jentera baru McLaren bagi musim 2012, MP4-27 di Woking, England Rabu lalu berikutan kegagalannya musim lepas.

"Saya mahu memenangi setiap perlumbaan. Saya rasa saya boleh melakukannya," katanya.

"Saya ada kebolehan untuk melakukannya, Jika jentera berada pada tahap yang kami harapkan, maka tiada sebab kami tidak boleh melakukannya." - Agensi

No comments: