Saturday, 4 February 2012

Piala Negara-Negara Afrika 2012 Zambia idam akhiri badi 16 tahun


PEMAIN-pemain Zambia mengambil masa bertafakur bersama seketika dalam merenung peluang mereka menghadapi Sudan pada sesi latihan, kelmarin.


BATA, Equatorial Guinea - Kemenangan ke atas Sudan dalam aksi suku akhir kejohanan Piala Negara-Negara Afrika awal pagi esok mampu menamatkan penantian Zambia untuk layak ke separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun.

Jurulatih, Herve Renard pastinya berselera besar bagi membantu pasukannya melakar kejayaan penuh bergaya sebaik mengendalikan semula Zambia pada Oktober tahun lepas.

Untuk rekod, Zambia belum pernah muncul juara kejohanan sebelum ini.

Zambia pernah dikecewakan Tunisia di peringkat separuh akhir edisi 1996 dan dikecewakan sebanyak lima kali di peringkat kumpulan selepas itu.

Mereka berjaya layak ke suku akhir apabila berjaya menjuarai Kumpulan A dengan tujuh mata. Turut layak mengiringi Zambia ialah tuan rumah bersama kejohanan kali ini, Equatorial Guinea.

"Kamu harus berjuang demi negara kamu dan itulah yang pemain Zambia perlu lakukan.

"Cuba bayangkan jika kami berjaya muncul juara, sudah tentu ia kenangan yang cukup indah." - AFP

No comments: