PENYERANG sensasi negara, Mohd Safee Sali masih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya buat masa ini biarpun keputusannya untuk menyambung kontrak baru bersama Pelita Jaya FC yang beraksi dalam liga haram, Liga Super Indonesia (ISL) bakal mengundang risiko amat besar.
Menurut Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan menggantung pemain yang beraksi dalam ISL sebelum ini sebaliknya hanya menuntut Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) supaya segera menyelesaikan kemelut dalaman liga domestik negara jiran itu sebelum 22 Mac depan.
Jelasnya, jika PSSI gagal berbuat demikian, badan induk bola sepak antarabangsa Fifa boleh bertindak tegas menggantung bukan hanya persatuan terbabit malah liga dan pemain.
“Apabila timbulnya isu liga haram (ISL) ini tahun lalu kami sudah mengarahkan PSSI supaya menyelesaikan masalah itu sebelum 22 Mac ini. Kami tidak mahu ada liga lain yang bukan di bawah kendalian PSSI kerana jika masalah ini tidak diselesaikan selepas tarikh itu, mereka boleh dikenakan tindakan.
“Memang kami mengiktiraf ISL sebagai liga haram kerana ia tidak diuruskan oleh PSSI jadi AFC dan Fifa mahu liga itu segera diuruskan oleh PSSI. Kami dimaklumkan PSSI akan mengadakan kongres pada 18 Mac ini jadi mereka harus memastikan tidak ada liga haram dijalankan jika tidak mahu dikenakan tindakan,” katanya ketika ditemui pemberita dalam satu majlis ramah mesra bersama AFC semalam.
Masa depan Safee bersama skuad kebangsaan terus menjadi topik perbincangan hangat selepas dia bergelar jutawan bola sepak baru dengan menandatangani kontrak lanjutan dua tahun bernilai lebih RM2 juta bersama Pelita Jaya.
Click Here
Menurut laporan portal berita Indonesia, Republika.co.id kelmarin, Safee dan Malaysia boleh dikenakan tindakan Fifa jika pemain berusia 28 tahun itu menyarung jersi kebangsaan. Ini kerana mereka mendakwa Fifa sudah mengeluarkan larangan supaya pemain yang bermain dalam liga haram (ISL) tidak boleh menyertai pertandingan rasmi Fifa.
Malah laporan itu juga menyebut, Setiausaha Fifa, Jerome Valcke dan Alex mengeluarkan surat kepada PSSI meminta senarai pemain yang beraksi dalam liga haram itu.
Bagaimanapun Alex menafikan laporan berita itu dan menyatakan Safee masih boleh beraksi bersama Harimau Malaya sehinggalah keputusan dibuat pada 22 Mac depan.
“Kami tidak pernah meminta senarai nama itu kerana status pemain bukan di bawah urusan AFC. Pemain-pemain didaftar menerusi kelab dan liga yang disertai. Jika pemain beraksi dalam liga haram sudah pasti mereka berdepan risiko sangat besar.
“Namun buat masa ini tidak ada larangan dikenakan ke atas pemain dalam ISL tapi PSSI perlu memastikan masalah ini selesai jika tidak mahu dikenakan tindakan tegas Fifa,” katanya.
Dengan penjelasan itu, tidak ada kebimbangan lagi untuk Safee beraksi bersama Harimau Malaya bagi aksi persahabatan menentang Arab Saudi dan Filipina pada penghujung bulan ini namun selepas itu nasibnya akan ditentukan pada hasil keputusan Kongres PSSI dan penilaian Fifa Mac depan.-HMETRO
No comments:
Post a Comment