KEM motivasi selama tiga hari di Taiping berakhir kelmarin berjaya memantapkan lagi ikatan serta semangat setiakawan di kalangan pemain Perak.
Keyakinan itu disuarakan oleh pengurus pasukan, Khairul Azwan Harun yang dapat berasakan semangat serta angin perubahan yang menyelubungi pemain Seladang ketika ini.
“Motivasi yang diberikan oleh pakar berjaya menyemarakkan lagi semangat dan mengukuhkan lagi minda pemain.
“Lebih penting pemain semakin mendapat keyakinan diri dan bersedia untuk memikul tugas dan tanggungjawab masing-masing,”katanya.
Beliau yang juga Bendahari Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yakin dengan kebersihan skuad Seladang dari gejala tidak diingini yang dikatakan cuba diresapkan ke dalam kancah Liga M.
“Tiada sebarang masalah dalam pasukan. Seberapa yang boleh Pafa menjaga kebajikan pemain,” katanya.
Click Here
Berikutan itu Khairul berharap pemain Perak mengekalkan rentak dan momentum seperti yang dipamerkan dalam tiga perlawanan terakhir mereka.
Azwan juga menafikan spekulasi mengenai penamatan kontrak penyerang Serbia, Lazar Popovic yang bertiup kencang setakat ini.
“Tiada sebarang keputusan lagi setakat ini. Tunggulah selepas jawatankuasa pengurusan bermesyuarat minggu hadapan,”katanya.
Popovic, 28, berada di tengah kontroversi hangat berikutan kegagalannya menjaringkan sebarang gol selepas lima perlawanan membuatkan dia dikecam hebat peminat pasukan Kejor Yob Kejor itu.
No comments:
Post a Comment