Saturday, 4 February 2012

Usah bebankan diri

DALAM badminton tiada istilah fobia terhadap mana-mana lawan cuma kemenangan yang dicapai pemain itu bergantung kepada nasibnya pada hari pertandingan.”

Itulah kenyataan Koo Kien Keat ketika ditanya sama ada dia dan gandingan Tan Boon Heong fobia dengan beregu dari Korea selepas undian Piala Thomas meletakkan skuad negara sekumpulan dengan pilihan kedua itu dalam aksi kumpulan D pusingan kelayakan yang akan berlangsung di Macau 13-19 Februari ini.


“Tanggapan ramai dan media sering mengatakan pasukan kita lemah, saya akui pasukan ini tidak kuat tapi kenyataan sebegitu akan melemahkan pemain pelapis yang disenaraikan dalam skuad kita, jadi saya rasa lebih baik kenyataan positif dibuat untuk mendorong pemain beraksi dengan lebih baik di Macau.

“Saya yakin kritikan boleh mendorong seseorang untuk bermain dengan lebih baik jika individu itu cukup matang tapi jika tidak, ia akan memburukkan lagi keadaan.” Kien Keat mengakui walau dengan siapapun dia digandingkan dia akan memberikan aksi terbaik meskipun mengakui tidak terlalu memikirkan Piala Thomas kerana sasaran utama adalah Sukan Olimpik.


Malah situasi dia dan Boon Heong yang kini tidak lagi menjadi perhatian beregu lain boleh dianggap satu peluang untuk memberi persembahan mengejut di pusingan kelayakan nanti.


“Beraksi dalam acara berpasukan, saya tidak rasa beban terlalu besar di bahu saya meskipun orang sering katakan bahawa kami (Kien Keat-Boon Heong) wajib mendapatkan satu mata selepas mata dari Datuk Lee Chong Wei seakan pasti dalam tangan.

Click Here

“Mungkin mentaliti saya lain berbanding dengan pemain lain kerana saya seronok dan tidak pernah tertekan bermain di Piala Thomas.


“Nasihat saya kepada pemain yang baru kali pertama beraksi di Piala Thomas, jangan meletakkan mereka beban sendiri. Seperti saya kali pertama bermain dulu saya anggap saya ini ‘underdog’ dan kita tidak perlu takut akan kalah.

“Jangan cuba membuat andaian akan menyusahkan rakan sepasukan seandainya gagal hadiahkan mata kerana ini adalah kejohanan berpasukan.” Tiga pemain beregu iaitu Goh V Shem, Lim Khim Wah dan Teo Kok Siang serta Liew Daren (perseorangan) akan beraksi buat kali pertama pada pusingan kelayakan Piala Thomas di Macau.


Sementara V Shem yang kali pertama beraksi mahu berharap skuad negara mara ke pusingan akhir di Wuhan, China 20-27 Mei depan.

No comments: