Tuesday, 27 March 2012

APOEL mahu cipta kisah dongeng

NICOSIA - Pemusnah kelab gergasi, APOEL berdepan misi paling mencabar apabila menerima kunjungan kelab yang dipenuhi bintang dunia, Real Madrid pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara, hari ini.

APOEL mencipta sejarah sebagai kelab Cyprus pertama beraksi di suku akhir kejohanan elit Eropah itu.

Ramai pemerhati yang tidak meletakkan harapan APOEL mampu memberi saingan kepada kelab terkenal di seluruh dunia, malah mereka menjangkakan pasukan kerdil itu akan kalah mudah.

Mereka memulakan aksi dari pusingan kelayakan untuk bermain di peringkat kumpulan, seterusnya melangkah ke saingan kalah mati.

"Masanya sudah tiba untuk kami memahat detik paling bersejarah buat kelab.

"Kami harus bersedia untuk mengeluarkan segala yang termampu dalam perlawanan ini. Kami mahu menggembirakan peminat,'' kata pemain tengah APOEL, Nektarios Alexandrou.

Lebih 6,000 penyokong setia mereka dikatakan telah membanjiri Stadium GSP semalam untuk membeli 300 tiket terakhir yang ditawarkan. Stadium itu boleh memuatkan 23,000 penonton.

APOEL bukan saja pasukan paling kerdil di kalangan lapan kelab yang beraksi di suku akhir, malah bajet mereka juga jauh lebih rendah daripada Real.

Bintang Real, Ronaldo dibeli dengan bayaran 80 juta pound (RM394 juta) daripada Manchester United, sedangkan pemain termahal APOEL dari Brazil, Ailton hanya bernilai 700,000 pound (RM3.4 juta) dibeli daripada Copenhagen.

Purata pendapatan pemain APOEL pula sekitar 13,000 euro (RM64,000) sebulan.

"Cabaran hebat yang diberikan oleh barisan bintang Real Madrid akan mendorong pemain kami mengeluarkan yang terbaik.

"Dalam kes ini kami perlu memberi permainan sempurna jika mahu melakar kejutan,'' kata jurulatih APOEL, Ivan Jovanovic.- AFP

No comments: