Tuesday, 27 March 2012

Redknapp harap perlawanan ulangan lancar

LONDON - Pengurus Tottenham, Harry Redknapp percaya, keadaan Fabrice Muamba yang semakin sembuh daripada masalah jantung akan menyaksikan penyokong menikmati sepenuhnya perlawanan ulangan suku akhir Piala FA menentang Bolton hari ini.

Perlawanan sebenar pada 17 Mac lalu terpaksa dihentikan memasuki minit ke-41 selepas pemain tengah Bolton itu pengsan di White Hart Lane akibat masalah jantung.

Selepas berehat beberapa hari, Bolton kembali dalam aksi bola sepak kompetitif dengan menewaskan Blackburn 2-1 pada saingan Liga Perdana Inggeris hujung minggu.

"Semua orang gembira dengan perkembangan yang ditunjukkan oleh Fabrice Muamba sekarang.

"Saya tidak mahu memikirkan tentang Fabrice lagi, tetapi apa yang berlaku dari Sabtu lalu sehingga sekarang memang sangat luar biasa.

"Ketika saya melihat dia di terowong bilik persalinan, saya bercakap kepada doktor kelab saya bahawa Fabrice telah meninggal dunia.

"Kami semua merasakan dia tidak mampu bertahan atau bernafas sebaik tiba di hospital," kata Redknapp.

Pemenang perlawanan ini akan menentang Chelsea pada separuh akhir di Wembley. - AFP

No comments: