Wednesday, 21 March 2012

Azarenka, Djokovic sedia pertahan juara

AZARENKA akan bertemu Krajicek dalam pusingan pertama saingan WTA Miami.
MIAMI: Pemain ranking tertinggi, Novak Djokovic dari Serbia dan Victoria Azarenka dari Belarus akan mempertahankan gelaran mereka di kejohanan gelanggang permukaan keras ATP dan WTA Miami yang menawarkan hadiah AS$9.6 juta (RM29.8 juta), bermula semalam.

Kejohanan yang memakan masa hampir dua minggu itu hadir selepas Djokovic kecewa di separuh akhir Indian Wells manakala Azarenka menumpaskan pemain nombor dua dunia, Maria Sharapova pada final Ahad lalu.
Djokovic tumpas di tangan pemain Amerika Syarikat yang mempunyai servis kencang, John Isner tetapi kemudian tewas kepada pemain nombor tiga, Roger Federer dalam final di Indian Wells.

Djokovic hanya turun Sabtu ini selepas mendapat bye pusingan pertama sebagai pilihan utama kejohanan, dan bakal bertemu pemain Argentina, Leonardo Mayer atau Marcos Baghdatis dari Cyprus pada pusingan kedua.

“Masih ada seminggu sebelum perlawanan pertama, jadi saya akan gunakan tempoh ini untuk membuat persiapan sewajarnya,” kata Djokovic. “Secara fizikal saya rasa baik dan permainan saya juga baik. Saya mempunyai keyakinan tinggi untuk kejohanan Miami ini.”

Djokovic menewaskan pemain nombor dua dunia, Rafael Nadal dalam final tahun lalu, mengumpul gelaran kedua di Miami selepas kejuaraan 2007.

Juara lima kali Grand Slam itu hadir dengan gelaran juara Terbuka Australia masih hangat dalam genggamannya, sama seperti kehadirannya di Miami tahun lalu.
Djokovic, yang membolot tiga gelaran Grand Slam terakhir, mampu menyertai Pete Sampras dan Andre Agassi sebagai juara lelaki tiga kali di Miami dan pemain pertama selepas Federer pada 2005 dan 2006, menang dua tahun berturut-turut.

Azarenka pula akan bertemu pemain Belanda, Michaella Krajicek dalam pusingan pertama manakala Sharapova bermula di pusingan kedua bertemu Shahar Peer. – AFP

No comments: