Wednesday, 21 March 2012

SIC masih relevan: Razlan

SEKALIPUN tidak mendapat tekanan daripada mana-mana pihak, termasuk Persekutuan Automobil Dunia (FIA), perlumbaan terulung jentera empat roda dunia, Formula Satu (F1) perlu terus dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas kontrak berakhir pada 2015.

Dengan berbaki tiga edisi penganjuran selepas edisi tahun ini selain kehadiran negara baru yang menawarkan hak penganjuran menarik, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Razlan Razali, berkata SIC dilihat masih relevan dan tiada keperluan membina litar baru di negara ini.

“Setakat ini, tiada komen daripada pihak FIA namun kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan,” kata Razlan yang ditemui semalam. “Perlumbaan F1 jelas memberi impak positif kepada negara dan kita perlu menimbangkan ia untuk terus dianjurkan di negara ini.

Selepas kontrak berakhir hingga 2015, saya lihat F1 masih relevan diadakan di SIC dan untuk mengadakan perlumbaan di litar jalanan seperti di Singapura atau membina litar baru bagi saya bukan satu pilihan melainkan kita sudah percaya kita sudah buat yang terbaik di Sepang.

- Datuk Razlan Razali, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
“Selepas kontrak berakhir hingga 2015, saya lihat F1 masih relevan diadakan di SIC dan untuk mengadakan perlumbaan di litar jalanan seperti di Singapura atau membina litar baru bagi saya bukan satu pilihan melainkan kita sudah percaya kita sudah buat yang terbaik di Sepang.

“Kita perlu timbang balik untuk teruskan atau tidak dan jika kita teruskan, kita perlu berusaha lebih gigih seperti sokongan daripada kementerian berkaitan seperti dilakukan di Singapura yang memperlihatkan Malaysia dan menjadikan F1 sebagai platform untuk menarik pelabur dan sebagainya,” kata Razali.

“Kita memerlukan acara setaraf F1 untuk menyerlahkan Malaysia setiap tahun. MotoGP juga bagus namun tidak sebesar F1 dan selepas Sukan Komanwel pada 1998, kita menganjurkan F1 sehingga kini.

“Jika kita melepaskan hak penganjuran F1, saya pasti kita sukar untuk mendapatkannya balik dan jika mahu, kos untuk mendapatkan kembali hak itu pasti bertambah mahal. Kita perlu fikir masak-masak, apa perancangan kita jika tiada F1 dan menganjurkan acara sukan sebesar ini.”

Sebelum perlumbaan di Australia minggu lalu, bos F1 Bernie Ecclestone memberi amaran kepada tuan rumah di Albert Park menganjurkan perlumbaan malam atau berkemungkinan tidak disambung hak penganjuran.

No comments: