Thursday, 22 March 2012

Belum temui kaedah

Datuk Lee Chong Wei
Datuk Lee Chong Wei

INSTITUT Sukan Negara (ISN) belum menentukan rawatan rapi yang perlu dilakukan ke atas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei yang mengalami kecederaan bahu kanan ketika beraksi di Siri Super Premier Seluruh England hampir dua minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz yang menerima laporan ujian imbasan MRI yang dilakukan di Hospital Pakar Damansara kelmarin berkata, beliau akan mengarahkan fisioterapi Fadzil Salleh melakukan rawatan susulan selepas beliau meneliti dengan lebih terperinci kaedah rawatan yang akan digunakan bagi memulihkan kecederaan atlet harapan emas negara di Sukan Olimpik London itu.


“Saya akan memberi beberapa arahan kepada fisioterapi kami, Fadzil selepas butir-butir terperinci mengenai kecederaan Chong Wei diketahui,” kata Ramlan yang belum memulakan tugasnya di pejabat kerana kurang sihat.

Begitupun, Ramlan berkata buat masa sekarang Chong Wei menerima rawatan bagi mengelakkan rasa sakit itu berterusan.


“Ketika ini dia menerima rawatan secara umum dengan tumpuan terhadap otot-otot di sekitar bahunya dan kami perlu memperincikan lagi rawatan untuknya.


“Perincian kaedah rawatan selepas ini akan mengambil kira banyak faktor dengan menimbang aktiviti yang boleh dilakukan Chong Wei sepanjang melalui rawatan kerana dia tetap perlu menjalani latihan bagi mengekalkan tahap kecergasan dan kemahiran tertentu.

“Kami nak pastikan kaedah rawatan yang akan ditentukan nanti tidak mengganggu latihan Chong Wei kerana kami mahu merawatnya sambil memastikan pemulihan otot yang tercedera itu tidak terjejas,” kata Ramlan.


Justeru, satu sidang media khas juga akan diadakan hari ini bagi menerangkan mengenai kedudukan sebenar kecederaan Chong Wei selain keputusan muktamad sama ada pemain itu akan beraksi di Piala Axiata atau sebaliknya.

Sidang media itu akan dipengerusikan sendiri oleh Ramlan bersama jurulatih Chong Wei, Tey Seu Bock di ISN.


Bagaimanapun agak pelik mengapa Chong Wei yang ke Basel, Switzerland dari England tidak pulang awal ke tanah air bagi mendapatkan rawatan di ISN lebih awal sebaliknya hanya tiba di tanah air Sabtu lalu meskipun dia menarik diri daripada menyertai Terbuka Switzerland.

No comments: