Friday, 23 March 2012

‘Cakaplah apa saja’

JOEY Barton memberitahu penyokong QPR yang me�ngejeknya di padang sewaktu perlawanan menentang Liverpool, mereka ‘tidak akan menjejaskan saya’.

Kapten Rangers itu digantikan Jamie Mackie selepas 62 minit, ketika mereka ketinggalan 0-2.

QPR bagaimanapun bangkit dengan tiga gol dalam tempoh 13 minit untuk menguasai perlawanan itu dan mengutip tiga mata penuh dan Mackie menjaringkan gol kemenangan.

Barton kemudiannya menghantar mesej di Twitter selepas perlawanan itu: “Kecewa dengan ejekan penyokong, kami sepatutnya bersatu. Mereka tidak akan mematahkan semangat saya, itu yang pasti. Saya sudah melalui lebih teruk daripada itu.”


Begitupun pemain tengah itu mengakui dia tidak bangga dengan permainannya.


“Ia satu malam yang memalukan. Permainan paling buruk sepanjang karier saya tetapi kami menang dan itulah yang penting.

“Cukuplah dengan kenyataan negatif. Keputusan yang hebat, semangat tinggi yang ditunjukkan pemain dan penyokong. Bukan untuk mereka yang mengejek.”

Kemenangan itu menarik kelab London barat itu keluar daripada zon penyingkiran dan memberi semangat untuk berdepan saingan lebih getir apabila bakal menghadapi Arsenal, Manchester United, Tottenham, Chelsea dan Manchester City sebelum akhir musim ini.

Barton berharap akan menghasilkan persembahan sebaik awal musim ini hingga ada yang mahukannya diserap�kan dalam skuad England.

Dia kemudiannya mengeluarkan satu lagi mesej kepada pengkritik dengan berkata : “Prestasi hanya sementara, kehebatan akan berkekalan.”

Pengurus QPR, Mark Hughes ditanya mengenai sambutan yang diterima Barton biarpun mendakwa tidak menyedarinya.

“Saya tidak menyedarinya,” kata bekas pengurus Wales. “Joey tidak berada di tahap terbaik. Malang sekali ada yang berpendapat perlu mengejek pemain itu sedangkan Joey seperti yang kami ketahui adalah seorang pemain yang tabah.

“Dia tidak akan membiarkan semua itu memberi kesan terhadapnya dan dia akan meng�galas tugas penting sehingga akhir musim.

“Malam ini mungkin bukan malam untuknya tetapi pasti ada malam lain yang bertuah untuknya.”

Hughes bagaimanapun berminat dengan perlawanan itu di mana sepakan gunting Sebastian Coates dan jaringan Dirk Kuyt meletakkan Liverpool pada kedudukan 2-0.

Shaun Derry memulakan kebangkitan dengan baki 13 minit perlawanan sebelum bekas penyerang Liverpool, Djibril Cisse menanduk masuk untuk gol penyamaan dan Mackie menjaringkan gol pada minit terakhir.

No comments: