SEMPENA perlumbaan Grand Prix Formula 1 (F1) Malaysia di Litar Sepang bermula esok hingga Ahad ini, orang ramai diminta menggunakan laluan yang ditetapkan untuk memastikan pergerakan trafik lancar.
Ketua Polis Daerah Sepang, Supt Imran Abd Rahman berkata, terdapat empat laluan untuk ke litar Sepang sama ada menggunakan Lebuhraya Elite dan memasuki Plaza Tol KLIA; menggunakan Lebuhraya MEX dan melalui Dengkil By Pass; atau menggunakan Lebuhraya Plus menuju ke Plaza Tol Nilai dan melalui pekan Salak.
“Selain itu pengunjung dari Melaka atau Johor Bahru pula boleh melalui Port Dickson dan seterusnya menghala ke pekan Sepang untuk ke Litar Sepang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, semalam.
Tambah Imran, untuk laluan keluar dari Litar Sepang, pengguna boleh menggunakan bulatan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) terus ke bulatan Masjid Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan bulatan Chaterfield menuju ke Lebuhraya KLIA untuk keluar ke Lebuhraya Plus.
Mereka juga boleh menggunakan Jalan Kuarters KLIA menuju ke pekan Salak untuk ke Nilai, dan untuk ke selatan pengguna boleh melalui Jalan Kuarters KLIA ke simpang Felda LBJ melalui Bandar Enstek untuk ke Seremban atau menggunakan Jalan Kuarters KLIA ke pekan Sepang untuk ke Port Dickson atau menuju ke Melaka dan Johor Bahru. - Bernama
No comments:
Post a Comment