Tuesday, 27 March 2012

FAM terima teguran

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menghalang pegawai dan ahlinya menegur prestasi skuad kebangsaan bagi tujuan penambahbaikan.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, pegawai atau ahli yang mahu mengkritik pasukan kebangsaan bagaimanapun wajar berbincang dengan persatuan itu terlebih dahulu sebelum memberi komen terhadap prestasi pasukan kebangsaan secara terbuka.

“Kalau boleh, seelok-eloknya kita bincang dalam mesyuarat terlebih dahulu tetapi kita tidak boleh sekat atau bendung mereka untuk menyatakan pandangan mengenai pelbagai perkara.

“Kita harus mengalu-alukan pandangan yang membina dan positif dalam hal ini. Namun, segala teguran adalah sangat subjektif, satu pihak kata tak begitu membina dan satu pihak kata sebaliknya,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian pada sidang media di Istana Abdul Aziz di Kuantan semalam ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa yang melahirkan keraguan terhadap kemampuan Malaysia mempertahankan Piala Suzuki AFF akibat aksi goyah dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum ini.

Annuar dalam satu majlis di Shah Alam, Selangor baru-baru ini menjelaskan bahawa kenyataannya disalah tafsir oleh pihak media kerana beliau hanya mengkritik pasukan kebangsaan tanpa merujuk kepada mana-mana individu termasuk jurulatih, Datuk K. Rajagobal.

Sehubungan itu, Tengku Abdullah berharap isu tersebut tidak diperbesar dan disensasikan lagi demi kebaikan skuad kebangsaan yang memikul tugas berat dalam merealisasikan impian peminat bola sepak negara ini.

Baginda sebaliknya menyeru supaya semua pihak memberikan fokus terhadap impian dan harapan untuk menaikkan mutu sukan bola sepak negara.

“Saya tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak kerana bila kita suarakan, kadangkala ada yang sensitif dan seelok-eloknya kita kurangkan perkara sebegini.

“Apa yang penting, pasukan dan pemain itu sendiri perlu membuktikan kemampuan di atas padang,” titah baginda.-kosmo.com.my

No comments: