![]() |
TIGER WOODS |
ORLANDO, Florida - Jaguh Amerika Syarikat, Tiger Woods akhirnya menamatkan kemarau 30 bulan tanpa kejuaraan apabila merangkul gelaran juara Kejohanan Golf Jelajah Jemputan Arnold Palmer.
Pada pusingan akhir kelmarin, Woods yang juga bekas pemain No. 1 dunia mengecewakan pencabar terdekatnya, Graeme McDowell dengan kelebihan lima pukulan.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Woods meraih kejuaraan sulung sejak 2009.
"Ia bukan seperti memenangi kejuaraan utama atau seumpamanya tetapi perasaan itu amat hebat.
"Saya bersyukur dan amat berterima kasih kepada individu-individu yang sering berada di belakang saya untuk memberikan sokongan.
"Penantian saya selama ini sudah berakhir dan saya mahu berkongsi kejayaan hari ini (kelmarin) dengan mereka semua, khususnya ahli keluarga saya," kata Woods.
Woods melakukan putt di lubang ke-18 untuk menamatkan pusingan akhir dengan catatan dua bawah par 70 dan secara keseluruhan, dia merekodkan 13 bawah par 275 dalam aksi yang berlangsung di lapangan Bay Hills Club & Longe itu.
"Ia adalah kegembiraan yang sukar dijelaskan," kata Woods yang juga pemenang 14 kali kejuaraan utama.
Sebagai rekod, Woods kini telah berjaya merekodkan 72 kejayaan dalam siri Jelajah PGA.
McDowell yang mengakhiri saingan dengan catatan lapan bawah par 280, menyifatkan pusingan akhir itu sebagai cukup mendebarkan.
"Saya dan dia (Woods) bersaing hebat sejak awal saingan lagi. Dia memang berhak meraih kejuaraan hari ini (kelmarin)," kata Mc Dowell.
Pemain Britain, Ian Poulter menamatkan saingan di tempat ketiga, manakala Ernie Els dari Afrika Selatan pula sekadar berada di tempat ketujuh. - AFP
No comments:
Post a Comment